Tuesday, August 31, 2010

21 vs 31


Alhamdulillah a'la kulli hal~
      Seribu kesyukuran dipanjatkan kehadrat Allah di atas segala ni'mat yang diberikan. Sejak kebelakangan ini, saya seolah2 hilang segala upaya untuk mencoretkan sesuatu sebagai perkongsian bersama. Upaya di sini adalah dari sudut idea dan juga ilmu. Kurang membaca barangkali. Mana bisa orang yang tidak mempunyai apa-apa hendak memberi apa-apa kepada saudaranya yang lain. Begitulah juga halnya dengan saya.
     Berbalik kepada hari ini, iaitu hari yang sangat-sangat bersejarah, siapa sangka tarikh keramat 31 Ogos jatuh pada tarikh keramat 21 Ramadhan, iaitu permulaan kepada 10 malam terakhir di bulan ramadhan. Sudah lama saya menyimpan angan-angan untuk bertemu saudara-saudara saya yang berada di luar sana yang mana biah mereka barangkali berbeza dengan biah yang kita perolehi di sini. Gusar. Saya cukup gusar, andaikata saya dipersoalkan di akhirat sana kerana tiada usaha untuk bertemu mereka. Atas ajakan beberapa orang sahabat, saya menerima pelawaan mereka untuk bertemu saudara seagama saya di luar sana. Pertama kali hati ini terdetik, mana mungkin kemungkaran itu bisa berleluasa di bulan yang penuh dengan rahmat dan keampunan Allah. Saya menyangka pasti ramai di antara kita yang sedang berlumba-lumba untuk mendapatkan satu malam yang mana lebih baik dari seribu bulan.
     Ternyata sangkaan saya meleset. Pertama kali berada berhampiran mereka, serta merta hati ini sayu. Sungguh sayu. Serta merta saya merasakan seribu kesyukuran yang tidak terhingga. Jikalau bukan dengan rahmat Allah, pasti saya tidak menjadi saya pada hari ini. Jikalau bukan dengan kehendak Allah, barangkali saya menjadi salah seorang daripada mereka. Nauzubillah,mohon dipelihara Allah. Sungguh, nikmat IMAN dan juga ISLAM lah yang paling berharga.
     Bergerak untuk mengedarkan risalah kepada mereka. Dalam hati, saya berdoa, moga-moga risalah ini diterima dan dibaca oleh mereka. Moga risalah ini menjadi wasilah untuk mereka menerima hidayah daripada Allah. Peringatan diterima agar mereka didekati dengan penuh kasih sayang, bukan dengan pandangan yang jelik dan menghina. Ya! Kasih sayang. Teringat suatu petikan daripada majalah solusi yang berjudul 'melebur takabbur'. Apabila kita melihat seseorang itu melakukan maksiat, maka janganlah kita membenci pembuat maksiat tersebut, tetapi bencilah akan perbuatan maksiat itu. Kerana, kita sendiri tidak tahu, selama manakah kita akan terus berada di dalam kebaikan, dan selama manakah mereka yang melakukan maksiat akan terus melakukan maksiat. Kerana, segala-galanya yang berlaku adalah atas kehendak dan kekuasaan Allah. Maka, berdoalah moga-moga kita sering didorong untuk sentiasa mentaati Allah. Telah berkata Syeikh Ibn Ata'illah dalam al-hikam, bahawasanya: "sebaik-baik permintaan yang harus kamu pohon daripada Allah adalah kemampuan melaksanakan apa sahaja yang Allah perintahkan kepada kamu".
     Bersua muka bersama saudara seagama yang berada di dunia luar banyak menyedarkan saya betapa bernilainya hidayah Allah itu. Janganlah kita mempersiakan hidayah tersebut. Takut takut, Allah tidak sudi untuk menghantar hidayahNya kepada kita lagi. *Nauzubillah*

Teringat satu kata-kata, bahawasanya ujian yang diterima oleh seseorang adalah berdasarkan tahap keimanannya kepada Allah. Semakin tinggi tahap keimanan, semakin besar tahap ujiannya. Setiap manusia itu, takkan terlepas daripada ujian Allah S.W.T. Menjadi orang biasa, kita akan diuji, menjadi orang yang 'luar biasa' pun turut diuji. Cuma tinggal pilihan kepada kita, samada hendak diuji sebagai orang yang biasa ataupun orang yang luar biasa. Samada hendak diuji sebagai seorang madu' ataupun diuji sebagai seorang daie.
Akhir kalam, moga sekolah ramadhan kali ini bakal melahirkan graduan-graduan yang berkualiti dari sudut iman dan juga taqwanya sekaligus menambahkan bilangan mereka yang menjadi mata-mata rantai perjuangan Rasulullah S.A.W. Moga-moga seluruh umat Islam mendapat taufiq dan hidayah Allah. Moga-moga Allah yang Maha Pengasih dan Penyayang sudi untuk mengasihi dan menyayangi hamba-hambaNya yang amat membutuhkan kasih dan sayangNya. Wallahua'lam.

p/s: 9 hari lagi ramadhan bersama kita~


Thursday, August 19, 2010

Mengemis kasih~

Bismillah wal hamdulillah~
Alhamdulillah, hari ini, genaplah fasa pertama Ramadhan di lalui oleh semua kaum muslimin dan muslimat.
Kali ini, hanya ingin berkongsi lirik nasyid dari kumpulan Raihan.
Mari bersama hayati~

Tuhan dulu pernah aku menagih simpati

Kepada manusia yang alpa jua buta

Lalu terheretlah aku dilorong gelisah

Luka hati yang berdarah kini jadi kian parah

Semalam sudah sampai kepenghujungnya

Kisah seribu duka ku harap sudah berlalu

Tak ingin lagi kuulangi kembali

Gerak dosa yang menhiris hati

Tuhan dosaku menggunung tinggi

Tapi rahmat-Mu melangit luas

Harga selautan syukurku

Hanyalah setitis nikmat-Mu di bumi

Tuhan walau taubat sering kumungkiri

Namun pengampunan-Mu tak pernah bertepi

Bila selangkah kurapat pada-Mu

Seribu langkah Kau rapat padaku

 [ Ya Allah, sesungguhnya kami menzalimi diri kami sendiri, jikalau Engkau tidak mengampunkan kami dan merahmati kami, maka kami akan termasuk dalam golongan yang berada di dalam kerugian]..

Saturday, August 14, 2010

.:: Gelombang tarbiyah ::.

Bismillahi wal hamdulillah.
Kediaman yang terletak berdekatan kampus memudahkan saya untuk ke sana.
Jika bernasib baik, maka saya berpeluang menaiki bas.
Jikalau tidak, nasib saya masih lagi baik, cuma harus ke kampus dengan berjalan kaki.
Seperti biasa,tengah hari tadi saya berjalan menuju ke kampus.
Di dalam perjalanan..
'tolong kami, bantu kami, ada orang tiada transport'..
telinga saya menangkap nyanyian daripada seorang budak lelaki. Anggaran saya,umurnya mungkin dalam lingkungan 8 tahun.
Saya berpaling. Ternyata lagu itu ditujukan khas untuk saya.
Dia mentertawakan saya melihat saya sedang menapak ke kampus.

Saya: Puasa tak hari ni?
Budak: Puasa la.(tak puas hati)
Saya: Kalau puasa, mana boleh kacau orang. Tak puasa kan?
Budak: Puasa la..
Budak: Nampaknya..lagi dua jam la baru sampai bus stop tu..
Saya: (ceh, perli orang pulak) tak kisah pun..

Selepas dia berlalu pergi, saya terasa ingin ketawa. Dan senyuman saya terbawa-bawa hingga ke kampus.
Seronoknya menjadi kanak-kanak. Dosa dan pahala tidak dikira.
Berbanding dengan orang dewasa, kanak-kanak lebih mulia, kerana mereka tiada dosa, sedangkan kita. Kita memikul dosa kita sendiri. Namun, didikan yang diterima semasa di alam kanak-kanak lah yang menentukan peribadi ketika dewasa kelak. Pepatah juga ada mengatakan 'melentur buluh biarlah dari rebungnya'.
Sabda rasulullah, mafhumnya: 'Perintahlah anak kamu bersembahyang ketika mereka berumur tujuh tahun, jika mereka tidak melakukannya sampai umur 10 tahun, maka pukullah mereka, dan pisahkan di antara mereka (lelaki dan perempuan) dari tempat tidur.' (Riwayat al-Hakim dan Abu Daud). Hadith ini menunjukkan betapa pentingnya tarbiyah kepada kanak-kanak sedari kecil lagi. Kerana, secara lumrahnya kanak-kanak mudah dididik ketika kecil. Namun begitu, proses tarbiyah tidaklah terhenti setakat di peringkat kanak-kanak sahaja. Kita sebagai remaja juga amat-amat memerlukan proses tersebut. Proses pentarbiyahan ini haruslah berterusan. Pandangan saya sendiri, sebagai seorang pelajar yang membawa agama Allah dan juga bagi mereka yang menjadi mata rantai perjuangan Rasulullah, proses pentarbiyahan itu haruslah berterusan. Kerana gerak kerja Islam ini, saya umpamakan seperti output. Dan untuk menghasilkan output yang baik, tidak dapat tidak, harus mempunyai input yang baik dan juga bersih. Dan input disini ialah ilmu yang bermanfaat dan juga tarbiyah. Wallahua'lam. Sekadar peringatan kepada diri yang selalu terleka dan juga buat sahabat-sahabat seperjuangan, terutamanya jentera-jentera Fifa5.

Firman Allah: " Sesungguhnya Allah membeli diri orang mu'min baik diri mahupun harta mereka dengan memberikan syurga untuk mereka. Mereka berperang di jalan Allah sehingga mereka membunuh atau terbunuh (sebagai) janji yang benar dari ALlah di dalam Taurat, Injil dan Al-quran. Dan siapakah yang lebih menepati janjinya selain Allah? Maka BERGEMBIRALAH dengan jual beli yang kamu lakukan itu, dan demikian itulah kemenangan yang agung."- At-taubah:111.

kan melangkah kaki dengan pasti
menerobos segala onak duri
generasi baru yang telah dinanti
tak takut dicaci tak gentar mati



bagai gelombang terus menerjang
tuk tumbangkan segala kezhaliman
dengan tulus ikhlas untuk keadilan
hingga pertiwi gapai sejahtera



takkan surut walau selangkah
takkan henti walau sejenak
cita kami hidup mulia
atau syahid mendapat syurga

Monday, August 9, 2010

Ramadhan & Badar

Bismillahi wal hamdulillah 'ala kulli hal wa ni'mah~

Sya'ban makin melabuhkan tirainya manakala tirai Ramadhan makin menjengah[syaaban ambang ramadhan]. Sungguh, ramadhan adalah bulan yang sangat-sangat dinantikan oleh semua kaum muslimin dan muslimat. Siapakah yang tidak teruja menunggu bulan yang dimana, seperti sabda baginda Rasul, mafhumnya,'apabila telah tibanya Ramadhan, telah terbuka pintu-pintu syurga dan tertutupnya pintu-pintu neraka, dan dibelenggu segala syaitan'[hadis diriwayatkan oleh imam Bukhari, Muslim, Nasaie,Ahmad dan Baihaqi]. Nah!! Bulan Ramadhan merupakan bulan yang paling pantas bagi kita untuk mendidik nafsu dan berusaha untuk melakukan segala amal kebaikan. Semoga ianya berterusan sehingga ke bulan-bulan seterusnya. Ramadhan dan segala fadhilatnya yang tidak terhitung merupakan bonus bagi sesiapa yang menghargainya. Berbicara mengenai Ramadhan, saya teringatkan suatu peristiwa yang begitu sinonim dengan bulan yang penuh keberkatan ini, iaitu Ghazwah Badar. Peristiwa Badar Kubra ini telah berlaku pada 17 Ramadhan tahun 2 Hijrah, iaitu pada hari Jumaat. Sungguh, Badar merupakan bukti kekuasaan Allah S.W.T. Masakan tentera seramai 313 orang mampu mengalahkan pihak lawan seramai 1000 orang? Namun Badar membuktikannya. Sungguh. Golongan yang sedikit mampu untuk mengalahkan golongan yang ramai atas kehendak Allah S.W.T. Peristiwa Badar ini kebanyakannya telah dinukilkan di dalam kitab Al Quran di dalam surah Al-Anfal.

Firman Allah:' (Ingatlah ketika kamu memohon pertolongan kepada Tuhan kamu, lalu ia perkenankan permohonan kamu [dengan firmanNya], sesungguhnya Aku akan membantu kamu dengan seribu [bala tentera] dari Malaikat yang datang berturut-turut'.-surah al anfal:9
Mengapakah Allah menurunkan bantuanNya pada tentera yang sedikit itu?
Kerana, kuantiti mereka kecil, namun kualiti mereka besar.
Siapakah yang sanggup untuk berlari di tengah panas pada bulan puasa? Siapakah yang sanggup untuk berjemur di tengah panas pada bulan puasa?
Begitu juga keadaan para sahabat pada ketika itu. Pada ketika itu, mereka sedang menghadapi 2 perjuangan yang besar. Perjuangan menentang golongan kuffar dan perjuangan menentang hawa nafsu. Hanya mereka yang benar-benar dan berkualiti imannya mampu meneruskan jihad ini. Biar kecil kuantiti, asalkan besar kualiti. 

Badar mengajar kita betapa pentingnya sikap kebergantungan seorang hamba kepada Tuhannya melalui kisah baginda Rasul.
Doa baginda: " Ya Allah, penuhilah kepadaku apa yang Engkau janjikan kepadaku. Ya Allah, sesungguhnya aku bermohon akan sumpah janjiMU",
Doa baginda lagi: "Ya Allah, andaikata pasukan ini tewas pada hari ini, nescaya Engkau tidak akan disembah orang, Ya Allah, kalau begitu yang Engkau mahu, maka tiada orang yang akan menyembahMu selama-lamanya".
Kepasrahan baginda Rasul begitu memuncak. Baginda merayu dengan begitu pasrah sehingga tidak menyedari kain selendangnya jatuh dari bahu baginda sehinggalah di angkat oleh Saidina Abu Bakar.

Allah kemudiannya mewahyukan kepada malaikatNya:
' (ingatlah) ketika Tuhanmu mewahyukan kepada Malaikat: sesungguhnya, Aku menyertai kamu(memberi pertolongan), maka tetapkanlah (hati) orang-orang yang beriman. Aku akan mengisi hati-hati orang kafir dengan perasaan gerun, oleh itu, pancunglah leher mereka(musuh) dan potonglah tiap-tiap anggota mereka'.-al anfal:12
Dan turunlah bantuan Allah kepada hambaNya yang beriman dan bergantung harap padaNya. Bukan mudah usaha Nabi dan para sahabat dalam mengembangkan agama Islam pada ketika itu. Oleh itu, hargailah sahabat-sahabat sekalian Agama Islam yang sedang kita anuti sekarang ini.

Jikalau dulu, martabat wanita direndah dan dipijak. Datangnya Islam membawa cahaya. Maruah para wanita diangkat dan dimuliakan. Perintah menutup aurat menjadi satu kesempurnaan agar wanita terhindar dari pandangan-pandangan liar. Maka, janganlah para wanita pada hari ini seolah-olah menafikan hak-hak tersebut.

Badar mengajar erti pengorbanan.
Badar mengajar erti perjuangan.
Badar mengajar erti kehambaan.
Badar mengajar erti ketaatan.

Teringat saya sebuah nasyid yang didendangkan oleh kumpulan Mestica, Badar 313.
Khas untuk sahabat-sahabat yang sedang berjuang. Ingatlah, kuantiti yang sedikit bukan ukuran, kualiti jua yang menjadi pilihan. Wallahu'alam.

tak kan berundur
walaupun selangkah
biarlah berkubur
tak kan menyerah
begitu mujahadah
begitu terserlah
biarlah basah
bumi yang bertuah

rentak dan tarian
telah diperturunkan
hanya yang beriman
terus ke depan
dan demi masa
dan demi agama
dan demi bangsa
harganya nyawa

perkasalah
tersedarlah
semua yang ditidurkan
pasti terserlah
mereka yang dinantikan

dan demi masa
demi agama
dan anak bangsa
harganya nyawa

perkasalah
tersedarlah
semua yang ditidurkan
pasti terserlah
mereka yang dinantikan

313 tentera Badar berjuang
313 tentera Badar menyerang
313 tentera Badar menerang
313 tentera Badar gemilang


P/s: Mari bersama meningkatkan kualiti diri di bulan Ramdhan yang penuh leberkatan ini. Semoga ianya menjadi madrasah tarbiyatun nafsi bagi semua. :)

Sumber rujukan:
1) Badar, menyelusuri sirah perjuangan kekasih Allah,Azrul Azlan Iskandar Mirza.
2) Sirah nabawiyah, Raheq makhtum.