Monday, March 28, 2011

.:: Dhuha::.

              Langkahnya semakin dipercepatkan. Cemas juga rasanya apabila terpaksa berjalan berseorangan di dalam pekatan malam. Masakan dia dapat mengagak bahawa tayar motornya akan pancit pada malam ini. Namun dia redha. Mungkin ini kaffarah bagi dosa-dosanya. Jam tangan dikerling. 10.45 malam. Masih awal pada perkiraannya, namun lampu-lampu jalan yang tidak berfungsi menambahkan kegerunan yang sememangnya bertahta dalam diri. Langkah yang diatur terasa seakan diekori. Dia memberhentikan langkah dan berpaling secara mengejut. Sepi. Tiada siapa yang mengekorinya. Darah berderau. Sungguh terasa seperti diekori. Dalam kekalutan itu, tanpa disedari, buku kecil yang berada di tangan terlepas. Peluh mula menghiasi dahi. Dhuha membongkokkan badannya, mengutip buku tersebut. Dengan segera, badannya ditegakkan. 
Pap! Terasa bahu kanannya disentuh dari belakang. Jantung seakan berhenti.

'Hai dik. Jalan seorang diri nampak. Nak abang temankan?' suara yang dilontarkan kedengaran sinis.
'Sudah....' Dhuha berkata perlahan.
Pantas buku yang dipegang dicampakkan ke tanah. Tangan kirinya pantas mencengkam tangan lelaki yang berada elok diatas bahunya. Dia memusingkan badannya, menghadap lelaki terbabit. Pantas. Tangan si lelaki sedikit tergeliat. Tanpa membuang masa, tendangan layang dihadiahkan tepat mengenai rusuk kiri lelaki terbabit. Padu. Lelaki tersebut mengaduh. Penumpuknya dikepal lalu dihalakan tepat mengenai pangkal hidung si durjana. Lelaki tersebut kelihatan terkejut. Sempat dia menghadiahkan 'sidekick' dengan menggunakan kaki kirinya sebelum dia melarikan diri. Tiada masa untuk dia mengutip buku-bukunya yang telah dilemparkan sebentar tadi. 

               Sedang dia berlari, tangan kanannya direntap. Dhuha terdorong kebelakang. Dia merentap tangannya kembali. Kuda-kudanya diperkemaskan. Bersedia menghadapi serangan. Lelaki itu kelihatan marah. Pantas penumbuknya dihalakan tepat ke wajah Dhuha. Namun, lelaki tersebut tidak dapat menandingi ketangkasan pergerakan Dhuha. Dhuha sempat mengelak. Kaki kanannya dilangkah setapak kebelakang. Badannya kini menghadap bahagian kanan tubuh lelaki itu. Tangan kanannya dengan pantas mencengkam penumbuk yang dihalakan lelaki itu kepadanya. Siku kirinya dengan pantas menghentak lengan lelaki itu. Lelaki tersebut mengerang kesakitan. Pantas dikilas lengan lelaki itu kebelakang. Kaki kanannya dengan segera memijak pelipat lutut lelaki itu. Lelaki terbabit terjatuh dan terus melutut. Tanpa membuang masa, kedua-dua tangannya memegang kepala lelaki tersebut dan memulaskannya. Tidak terlalu kuat, dikhuatiri patah lehernya. Sekadar untuk melemahkan lelaki tersebut. Tanpa membuang masa, kali ini dia berlari sekuat hati. Sungguh, kini kudratnya telah berkurangan. Khuatir andai diancam dia tidak mampu berlawan.

              Mujur lelaki tersebut tiada asas ilmu persilatan sepertinya. Dari jauh telah kelihatan pagar rumahnya. Mujur pagar tidak berkunci. Lariannya terhenti di hadapan pintu rumah. Pintu diketuk sekuat hati. Langsung terlupa untuk memberi salam. Dhuha cuba untuk menenangkan dirinya. Pintu dibuka. Tersembul muka 'housemate'nya Wardah dengan wajah yang penuh dengan tanda tanya. 

'Eh, kenapa dengan awak ni?' Wardah bertanya kerisauan. Kepala digelengkan tanda tiada apa yang berlaku.
'Tipu'. wardah menambah sepatah. Tidak puas hati dengan jawapan yang diberikan kepadanya.
'Tiada apalah. Saya sengaja nak berlari malam-malam macam ni.' Sengaja Dhuha merahsiakan perkara yang sebenar, dikhuatiri rakannya itu akan berasa risau.
Berpuas hati dengan jawapan yang diberikan, Wardah pantas membawa diri ke tingkat atas rumahnya.
Tanpa membuang masa, Dhuha segera melakukan sujud syukur. Ternyata Allah masih sudi untuk melindunginya. Segala puji bagi Allah. Mujur dia pernah menuntut ilmu persilatan daripada arwah datuknya. Dan mujur juga, lelaki tersebut tidak terlalu besar hingga menyukarkan dia untuk berlawan.

'Nampaknya, aku harus berlatih ilmu persilatan yang telah dipelajari daripada arwah atuk dahulu'. Dhuha bercakap sendirian. Dan akhirnya, dia tersenyum.

P/s: Kalaulah ada muslimat yang hebat macam ni, barulah betul-betul power!