Wednesday, June 8, 2011

Dihambat rindu

     Saya mendakap adik itu mesra. Mereka bukan kanak-kanak biasa. Mereka adalah anak-anak yatim. Jadi, tempat mereka telah saya sediakan istimewa di dalam hati saya. 39 puteri, 25 putera. Mereka memang istimewa.


'Acu, kalau acu rindu kat emak, acu buat apa?' saya bertanya.
'Acu telefon emak'. Ringkas dia menjawab. Tangannya masih bermain-main dengan jari-jari saya.
'Kalau rindukan ayah, apa acu buat?' sengaja saya bertanya. Ingin merasai rasa mereka.
Anak matanya memandang saya. Tepat.
'Tak buat apa. Acu sembahyang. Pastu doa la banyak-banyak.' Saya terus terdiam. Saya mengeratkan pelukan.
Mungkin ini rasanya kehilangan. Rasa malu kepada Allah. Dia masih sudi meminjamkan ibu bapa kepada saya.


     Tengah hari itu, saya menjamu selera bersama-sama adik perempuan. Kami dihampiri Muaz. Hitam manis orangnya. Mulutnya yang ringan bercakap itu dan ini, menyenangkan saya. Namun, ternyata belum sampai 15 minit, pergaduhan kecil berlaku antara Muaz dan adik-adik perempuan. Saya sedikit berang.
'Muaz, akak tak nak kawan dengan Muaz dah'. Saya berkata tegas lalu berlalu pergi.
Langkah saya diekori Muaz. 'Ok,ok. Kak Ain, jangan marah.' Dia berkata. 
Saya berhenti dan menghadapnya. 'Janji jangan bergaduh dengan orang lagi.' saya memaksa dia berjanji. Tersengih-sengih Muaz mengangguk. Setelah berpuas hati, saya ingin melangkah pergi.
'Kak Ain, Muaz minta maaf dekat Kak Ain'. Saya terkejut. Tidak saya sangka, kanak-kanak yang saya klasifikasikan sebagai nakal akan meminta maaf. Saya mengosok-gosok kepalanya. 'Muaz jangan nakal-nakal tau'. 


     Saya tahu, hati ini milik Allah. Dan Dia juga yang menyatukan hati-hati kami. Terasa dekat dengan mereka.


'Kak Ain, malam ni mai tidoq dengan kami tau.' Angelina berkata. Namanya unik kerana arwah ayahnya merupakan Hindu-muslim. Saya hanya tersengih. 'InshaAllah, tapi tak janji tau'. Saya membalas. Malam itu, akibat keletihan, saya tertidur di bilik saya sendiri.


Keesokannya, saya terserempak dengan mereka lagi. Saya melemparkan senyuman.
'Kak Ain, awat tak mai bilik kami kelmarin?'. pantas saya menepuk dahi.
'Kami tunggu kak sampai terlena'. Rasa bersalah menghantui diri. 
'Yeke?'. Saya bertanya. Bersalah. 'Mai sini'. Saya memanggil mereka. Saya usap-usap kepala mereka. 'Sori'. Saya cium pipi mereka seorang sekali. 'Malam ni, Kak Ain pi tidoq dengan hampa naaa'.


     Saya tidak tahu, mengapa saya menulis tentang ini. Saya dihambat rindu. Saya tidak sempat menghantar kepulangan mereka. Mereka terlebih dahulu bergerak. Mujur, saya sempat bersalaman dengan semalam.
Semalam saya menerima sekeping kertas. Dipenuhi tanda tangan adik-adik Wisma Penang. Coretan-coretan mereka kepada saya, membuatkan saya sayu. Sungguh, mereka istimewa dihati saya.


     Bersama mereka, mengajar saya cara untuk berinteraksi dengan mereka. Bagi saya, mereka perlukan kasih sayang dan kelembutan. Saya tidak pasti betul atau tidak teori saya ini. 


Sungguh, saya merindui mereka. 
Adik-adik, jaga diri baik-baik. T_T


Coretan MTQN 2011.