Friday, April 6, 2012

Rahsia 2P 1G :)

     Usai mengerjakan Solat Asar berjemaah, Syifaa mencapai Al-Quran mini kesayangannya. Dia mencari-cari sudut terpencil. Matanya terpandang Nabilah yang tersengguk-sengguk menahan kantuk. Syifaa pantas merapati sahabatnya itu.
'Bella, mengantuk ke?' Lembut Syifaa bertanya.
'Hmm.. Mengantuk lah juga.. Aku rasa nak tidur, tapi aku tak baca Al-Quran lagi hari ni. Mengantuk sangat ni..' Nabilah mengadu. Syifaa sangat mengerti kondisi sahabatnya itu. Sudah hampir 3 malam Nabilah tidur lambat semata-mata mahu menyiapkan kertas kerja bagi Kempen Biah Solehah. Syifaa tersenyum lantas melabuhkan punggungnya bersebelahan Nabilah.
' Tak baik tidur lepas asar ni. Tapi, aku bagi peluang harini sahaja untuk kau tidur lepas asar.' Tangan Syifaa pantas melipat sejadah yang ada dan meletakkannya diatas paha.
'Mari sini tidur atas riba aku. Jadi bantal kau untuk petang ni. Tapi 20 minit je ye.' Nabilah tersenyum pantas meletakkan kepala diatas 'bantal' yang telah disediakan.
'Aku baca untuk kau Surah Ar-Rahman ye, Bella. Tidur sambil dengar tau.' Tangan Syifaa automatik mengusap kepala sahabatnya dengan penuh kasih.
'Syifaa..' Bella bersuara sepatah sambil mata terpejam. 'Hmm..' Syifaa membalas pendek. Matanya memandang sahabat.
'Terima kasih tau. Sayang kau.' Bella masih terpejam. Bibir Syifaa terkoyak dengan garisan senyuman. Hatinya senang bermanja dengan sahabat seperjuangan. Hatinya tenang berdampingan dengan sahabat yang sentiasa menguatkan. Bacaan Surah Ar-Rahman diteruskan.


     Kedudukan sahabat seperjuangan sungguh istimewa di hati Syifaa. Masakan tidak istimewa, merekalah yang sering memujuk ketika dia merajuk. Yang menyambut ketika dia hampir tersungkur.Yang memapah ketika dia hampir rebah. Dan mereka lah yang sering memberi kekuatan ketika dia teramat memerlukan. Senyuman mereka penawar langkah yang lelah. Dan yang paling penting, kata-kata mereka sering membuatkan dia semakin dekat dengan Tuhan. Kalaulah bukan kerana perjuangan ini, dia tidak akan berjumpa sahabat- sahabat yang sangat dekat dengan Tuhan. Kalaulah bukan kerana misi dakwah, mungkin dia tidak akan merasa indahnya berukhwah kerana Allah. Syifaa tersenyum sendiri. 20 minit telah berlalu. 
'Bella, bangun.. 20 minit dah tamat.' Syifaa membangunkan Bella dari tidur.
'Dah pukul berapa?' Nabilah bertanya. '5.20 petang, kak.' Syifaa menjawab.
'Terima kasih Syifaa'. Aku rasa lena betul aku tidur atas 'bantal' empuk ni.' Nabilah berseloroh. Serentak Syifaa dan Nabilah ketawa. Bahagia.
'Eh, aku dah lambat ni.' Nabila buru-buru bangun. Syifaa memandang hairan. 'Aku dah janji dengan adik-adik usrah nak main netball'. 
'Kau bukan kaki bangku ke? Mana reti main netball'. Syifaa dalam cubaan untuk bergurau.
'Heii.. Exam BM masa SPM dulu dapat berapa? Kaki bangku untuk bola sepak la.. Bukan untuk netball.'. Syifaa ketawa. 'Oklah, aku gerak dulu. Terima kasih Syifaa untuk bantal empuk tadi.'. Nabilah bergegas pergi. Kelibat sahabat hilang dari pandangan. Perasaan lega bertandang di hati. Membisik supaya mensyukuri nikmat bersahabat kerana Ilahi.


     Cermin mata dibetulkan di pangkal hidung. Matanya terasa berair akibat terlampau lama menghadap skrin laptop. Dalam cubaan menyiapkan assignment yang telah diberikan oleh tutor. Tok,tok,tok. Syifaa mengalihkan pandangan ke pintu bilik. Pantas dia bangun dan melangkah. 'Assalamualaikum'. Terjengul muka sahabat dibalik pintu. Salam dijawab di dalam hati. 'Lambat balik, Kauthar?' Kauthar meletakkan beg di atas meja dan melabuhkan punggung di atas katil. Melepaskan lelah. Syifaa masih tekun menulis sambil menanti jawapan Kauthar. 'Ada discussion tadi. Dekat kampus'. Pendek Kauthar menjawab. Syifaa meneruskan kerja. Jarum pendek menghampiri angka 12, manakala jarum panjang tepat diatas angka 10. 11.50. Syifaa menguap buat kesekelian kalinya. Shutdown. Laptop di letak kemas disudut meja. Dalam keadaan mamai Syifaa melangkah ke katil. Tidur Syifaa sedikit terganggu. Dalam keadaan gelap, kelihatan Kauthar membetulkan kedudukan bantal di kepalanya. Selimutnya dikemaskan. Cermin mata 'ol'skool' yang masih dipakai, ditarik perlahan oleh Kauthar dan diletakkan di tepi bantal. Kauthar melangkah ke katil. Hatinya tersentuh dengan keperihatinan sahabat. Syifaa menyambung lena yang terganggu. 
Terasa seakan baru terlena. Pengera jam di telefon bimbit berbunyi. Syifaa mengambil dan mematikan bunyi yang mengganggu tidur. Baru ingin menyambung tidur, terasa ada air yang menitik ke muka. Syifaa membuka mata. Kauthar tersenyum. 'Jom Qiyam.' Segar. Terus hilang rasa kantuk yang bertandang melihat wajah sahabat. Pagi itu mereka subuh berjemaah. 


'Dan Dialah yang mempersatukan antara hati mereka (orang yang beriman). Walaupun kamu membelanjakan semua kekayaan yang berada di bumi, nescaya kamu tidak dapat mempersatukan hati mereka, akan tetapi Allah lah yang mempersatukan hati mereka. Sesungguhnya Dialah Yang Maha Perkasa dan Maha Bijaksana.'- Al-Anfaal:63.


     Entah mengapa, petang itu tekaknya terasa sedikit perit. Mata terasa panas. Sekali sekala, hembusan nafas melalui hidung juga terasa panas. Sah, simptom-simptom demam telah dikesan. Syifaa terasa kepalanya semakin memberat. Pensel yang digunakan untuk mebuat peta minda madah 'Fiqh Ibadat' diletakkan. Bantal dihujung katil dicapai, pantas kepala diletakkan. Mudah sahaja dia melelapkan mata. Syifaa merasakan badannya makin tidak selesa. Bertambah panas mungkin. Kelopak mata dibuka. Dahi diraba. Terasa ada kain basah yang terletak elok diatas dahi. 'Syifaa, dah bangun ke? Kau demam lah. Panas sangat. Nanti aku bawa kau pergi klinik tau.' Balqis bersuara sambil menatang semangkuk bubur. Syifaa merasakan tekaknya perit. Dia hanya diam. 'Nah, makanlah bubur kau. Kak Hajar masak tadi. Aku tukang bawa bagi kat kau je.' Balqis tersengih. Syifaa, tanpa disedari turut tersenyum. Dia menganggukkan kepala sebagai tanda berterima kasih. 'Balqis, tak yah lah susah-susah bawa aku pergi klinik. Kejap lagi baiklah demam ni'. Syifaa bersuara. tidak sanggup dia hendak menyusahkan sahabat. 'No. Kau kena juga pergi klinik. Fullstop.' Balqis bangun dan segera keluar dari bilik. 'Jangan degil tau.' Balqis senyum. Syifaa turut tersenyum. Terima kasih. Perlahan ucapan terima kasih keluar dari bibirnya.


     Sedang dia berkemas-kemas, Syifaa terjumpa sebuah buku nota kecil kepunyaan Asmaa'. Hati terasa ingin membaca isi kandungan buku tersebut. 


Teori Persahabatan 'Power puff Girls':


1) Bersahabat kerana Allah.
2) Menegur kesalahan sahabat dengan berhemah.
3) Berusaha sebaik mungkin tidak membuka aib sahabat.
4) The lowest level is 'salamatussadri' = Berlapang dada. 
5) The highest level is 'Ithar'. (Kisah 3 sahabat dalam perang Yarmouk : Ikrimah Bin Abi Jahal, Al Harits Bin Hisham dan Ayyash Bin Abi Rabi'ah).
6) Husnuzzon :) 
7) Sentiasa mendoakan kebaikan untuk sahabat.

P/s: Asmaa', Kau boleh! 

Syifaa tersenyum membaca nota 'comel' itu. Mungkin inilah rahsia kehebatan Power Puff Girls. 






     


     
     
























Friday, January 20, 2012

Catatan Kenangan..

Detik waktu yang berlalu adalah guru yang memandu.
Banyak yang saya pelajari dari guru yang bernama pengalaman.






     Kelibat 'apek' tua itu kelihatan lagi. Bersendirian. Memakai topi dan bertongkatkan payung. Wajah nya kelihatan amat uzur. Namun langkahnya masih gagah diatur. Ditangannya terdapat satu bungkusan makanan kucing. Kucing-kucing yang berkeliaran seolah-olah dapat menghidu kehadiran lelaki itu. Kucing-kucing itu diberi makan. Segenggam seekor. Diberikan secara berasingan. Entah mengapa hati saya berasa belas melihat kan wajah itu. Sebahagian dari hati saya mengasak supaya menegurnya. Dan sebahagian lagi melarang asakan itu. Terlampau banyak cerita yang saya dengar dari perbualan orang ramai tentangnya. 

Lelaki lembut.
Bapuk.
Pondan.
Dan banyak lagi.

Dan gelaran-gelaran tersebut tidak menggagalkan perasaan saya untuk menegur lelaki itu.

Pagi itu, wajah uzur itu bertandang lagi ke kedai yang bersebelahan kedai ibu bapa saya. Tempat duduk yang dipilihnya agak terpencil. Kebetulan, kedai saya lengang sedikit. Saya menapak menuju ke arah 'apek' tersebut.

'Uncle seorang je ke?' Saya melemparkan senyuman perkenalan. 
Dia mendongakkan kepala. 'Pak cik seorang je lah.' Dia membalas pendek. Saya terkejut. Saya fikirkan wajah tua yang uzur itu adalah berbangsa cina. Sangkaan saya meleset sama sekali. Malah, dia berbangsa sama seperti saya. Saya pantas menarik kerusi kosong yang sedia ada dan memperkemaskan kedudukan saya, betul-betul bertentangan dengannya. Mulai hari itu, saya 'berkawan' rapat dengannya.

     Tiada apa niat saya. Cuma, hati saya berasa belas melihatnya. Perasaan belas yang datang tanpa diundang. Dan doa saya, pabila ibu bapa saya berusia dan berumur kelak,akan ada orang yang berbuat baik kepada mereka seperti mana apa yang saya lakukan.

     Banyak perkara tentang pak cik tersebut yang saya ketahui. Hampir setiap hari saya berdialog dengannya. Saya seolah-olah teruja dengan kedatangannya. Hinggakan ibu bapa saya berasa hairan. Pak Cik Ali namanya. Lahir pada tahun 1930 dan semestinya terlebih dahulu makan asam garam daripada saya, malah semenjak dari zaman jepun lagi. Saya seolah-olah terlupa kata-kata orang ramai tentangnya. Yang saya pasti, setiap hari, RM 4 akan diinfaqkan untuk kucing-kucing jalanan. Jika dikira secara kasar, dalam sebulan belanja untuk kucing-kucing jalanan sahaja sudah menelan belanja sebanyak RM120! Saya terkagum sendiri. 

     Kisah rumahtangga yang hanya bertahan selama setahun diperdengarkan kepada saya. Tiada zuriat penyambung keturunan menyebabkan dia bersendirian. Dan Pak Cik Ali sering menceritakan tentang penemannya yang merupakan hanya kucing-kucing jalanan. Sungguh, demi Allah, hati saya belas mendengarkannya.

'Mesti pahala pak cik banyakkan sebab bela kucing [merujuk kepada kucing jalanan]'. Saya bersuara untuk menghilangkan perasaan sayu yang bertandang. Pak Cik Ali hanya tersenyum.
'Entahlah. Pak Cik pun tak tahu. Kadang-kadang pak cik geram, pak cik pukul jugak kucing-kucing ni sebab suka buang najis merata-rata.' Saya ketawa mendengarnya. Dan dia tersenyum suka.

     Perbualan kami berlangsung hampir setiap hari. Perbualan kami berkisar tentang pelbagai perkara. Kesihatan dirinya, perbelanjaannya dan juga makanan kegemarannya.
'Nak solat Dhuha seeloknya pukul berapa?' Pak cik Ali bertanya. Saya teruja soalan itu yang dilontarkan olehnya pada suatu ketika.
'Solat Dhuha ni, dalam pukul 8 keatas dah boleh buat dah.'. Pak cik Ali mengangguk-anggukkan kepalanya. Pak Cik Ali semakin rajin bertanya tentang solat sunat taubat, tahajjud dan sebagainya. Tidak tahu kenapa Pak Cik Ali senang dengan soalan-soalan begitu. Dan saya berkali kali ganda senang untuk menjawab soalan-soalannya.
     Mungkin kehidupannya yang bersendirian, tidak dipedulikan orang sekeliling membuatkan dia ketandusan tempat untuk melontarkan pertanyaan.


     Cuti semester telah berlalu. Saya khabarkan kepergian saya ke kampus kepadanya. Kepulangan saya ditanya pula olehnya. 'InshaAllah, bila free saya balik rumah'. Lelaki itu hanya menganggukkan kepala mengerti. Saya tersenyum.


Sudah lama saya tidak pulang ke rumah. Hati saya tergerak untuk menelefon ibu yang sudah lama tidak saya hubungi.


'Ain, mak nak bagitahu sesuatu ni.' Mak saya bersuara.
'Apa dia mak?'.
'Pak Cik Ali dah meninggal...' saya terkejut. 
'Betul ke mak?Ke salah orang?' saya bertanya kembali.
'Betul lah. Pak Cik yang selalu Ain sembang-sembang tu'. 


Sedih.
Saya sungguh sedih dengan pemergian pak cik tersebut.
Saya sudah tiada teman untuk bersembang.
Kedai runcit tersebut telah kehilangan pembeli tegar makanan kucing di setiap hari.
Dan yang paling penting, kucing-kucing yang berkeliaran telah kehilangan tangan yang memberi makan.


Walaubagaimana sekalipun kisah silam pak cik tersebut, itu bukan persoalannya. Saya merasakan keihklasan dari dirinya untuk menjadi insan yang lebih baik. Saya dapat merasakan keinginannya untuk menjadi hamba yang sebenar-benar hamba. Dan saya tahu, lelaki itu adalah insan yang baik. 










     Dan benarlah bahawa kita belajar dari kehidupan. 
Dan banyak perkara saya belajar dari kisah lelaki tua tersebut. 
Saya belajar untuk lebih menghormati dan mengasihi yang tua. 
Saya belajar untuk berbuat baik sesama insan. 
Saya belajar untuk berlaku ihsan kepada binatang yang juga merupakan makhluk ciptaan Tuhan. 
Dan yang paling penting, saya belajar bahawa tiada istilah 'terlambat untuk bertaubat' dan ...
bahawasanya kematian itu datang tanpa diundang.






[Sabahat, jom sedekahkan Al-Fatihah kepadanya, kerana mungkin dia tiada siapa yang hendak mendoakannya]






Catatan kenangan,
21012012
11.47 am




Friday, January 6, 2012

Ayah & Emak both are from Earth :)

Bismillah dan segala puji bagi Allah.


Ianya sabtu dan saya berada di rumah keluarga.
Jarak diantara Nilai dan Selangor yang dekat membuatkan mak dan ayah sering menuntut kepulangan saya. Dan permintaan itu hanya terkadang sahaja mampu saya penuhinya.
Minggu ini saya pulang meraikan permintaan mak dan ayah :)


Pagi itu emak memasak nasi goreng kampung bersayurkan sawi [ayah saya bukan penggemar sawi]


Emak: Abang, jom makan [Sambil menghidangkan sarapan]. Ayah saya pantas membetulkan duduk di atas kerusi.
Saya: Ayah, sedapkan nasik goreng mak. 
Ayah: Nasi goreng ni, rasanya sekata. Ada rasa pedas, masin. Warna agak menarik. Namun, bahan yang digunakan oleh Puan Midah [mak saya] adalah tidak tepat [ayah bagai juri masakan]
Saya: ?? Bahan apa?
Ayah: Sebab ada sawi. [Ok, ayah bukan penggemar sawi]. Dan ayah mula mengasingkan sawi ke dalam pinggan emak. :)
Emak: Ayah memang suka kutuk emak. Kamu dengar je lah, Ain.
Saya memandang emak. Emak hanya tersengih. 


Petang itu, sedang saya menolong emak di dapur, kami bersembang-sembang kosong anak beranak.


Saya: Mak, ayah tu memilih tak bab makan? [Saya fikir, mak akan berkata 'ya' kerana baru sahaja dikritik nasi gorengnya].
Emak: Ayah kamu lah yang paling tak memilih. Dia tak pernah minta mak masak apa yang dia nak makan. Mak masak, semua dia makan.
Saya: Sekali pun ayah tak pernah minta mak masak special untuk dia?
Emak: Tak. Sekali pun tak pernah.
Saya terkagum sendiri. Jika dihitung, hampir 27 tahun usia perkahwinan emak dan ayah. 


Ayah memang suka mengusik emak. Mungkin disebabkan kami adik beradik semua tinggal di asrama, rumah sewa, dan hanya mereka berdua di rumah, ayah sering menyakat emak. Dan emak pula, akan berleter kepada ayah. Saya teringat 3 bulan lepas ketika emak saya demam panas.


Ayah: Ain, ayah lebih rela dengar mak kamu berleter kat ayah satu hari, daripada senyap macam ni [mak demam, jadi hanya tidur].
Saya: Yeke, ayah?
Ayah: Ye lah. Ayah susah hati mak kamu tak berleter kat ayah sehari. Mak kamu berleter ayah sakit telinga, mak kamu diam macam ni[disebabkan demam], ayah sakit dada, susah hati.
Saya: Hanya mampu mengangguk-anggukkan kepala.
Dan petang itu, ayah sibuk memasak sup ketam kepada emak. Hanya 2 ekor sahaja ketam yang dimasak. Bila ditanya kenapa 2 ekor sahaja, sedangkan kami adik beradik ramai, ayah hanya menjawab, ni special untuk emak :). Dan emak, hanya tersenyum dalam sakit :)


Pabila berada di rumah, topik perbualan emak dan ayah, kadang2 seakan-akan 'tiada isi' bagi saya. Saya terkadang berasa hairan.


Emak: Abang, cuba tengok bang chaq [nama kucing kami].
Ayah: Kenapa dengan dia? [sambil mencari2 bang chaq].
Emak: Tengoklah dia tidur. Teruk betul gaya nya.
Ayah: Ha'ah. Kenyanglah kot. Saya bagi makan tadi.
Emak: Abang bagi makan apa?
Ayah: Saya...bla bla bla..
Dan perbualan mereka terus berkisar tentang kucing2 yang berikutnya. Unik, bukan? Saya hanya mampu tersenyum.


Alhamdulillah dan alhamdulillah untuk yang kesekian kalinya. Kami bukan dari keluarga yang berada. Kami dari keluarga yang biasa. Dan alhamdulillah untuk segala-galanya.


Saya tiba-tiba terfikir, pernah ke mak ayah membaca buku, 'Men are from Mars, Women are from Venus?' 










[Entah mengapa saya terasa ingin menulis tentang ini. Tiada sebab. Cuma saya hanya rasa rindu.] :)