Friday, December 30, 2011

..........

Bismillah, thummal hamdulillah..


Seperti biasa tahun baru menjengah jua. 
Pelbagai perasaan bercampur baur. 
Dan seperti biasa, pelbagai azam yang kita letakkan.
Dengan harapan ia akan kita laksanakan.


Aduh!
Sungguh, menjadi hamba Allah itu bukan mudah.
Betapa kita ingin mentaatiNya.
Dan selama itulah nafsu membisik yang sebaliknya.
Akal bertemu nafsu.
Tanpa senjata Iman dan Taqwa.
Kita tewas!


Kadang-kadang rasa malu dengan Allah.
Kita bertaubat selepas membuat dosa.
Kemudian kita mengulangi kesalahan yang sama.
Kemudian kita bertaubat semula.
Sehingga menitiskan air mata.
Kemudian kita berbuat dosa.


Aduh!
Ampunkan aku Ya Allah.




P/s: Sila pausekan lagu-lagu blog ini disebelah untuk mendengar lagu ini.


Sahabat-sahabat, selamat tahun baru.
Saya khuatir, andai ini tahun baru yang terakhir yang kita raikan.
Mana bekalan kita?


May Allah bless all of us.


DenganMu aku hidup, Opick. [Lagu ini sungguh2 dan sangat2 menyentuh hati saya].


Denganmu aku hidup
Denganmu aku mati
Hanyalah padamu
hanyalah untukmu
Hidupkan dijalani

Padamu ku berserah
Padamu ku berpasrah
Hanyalah padamu
Hanyalah untukmu
Hidup kan dijalani

Engkau Allah yang Maha Mendengar
Engkau Allah yang Maha Penyayang
Engkau yang mengampuni
Engkau yang memaafkan
Engkau Allah...

Allahurrahman Allahurrahim
Allahul malikul kuddusussalam
Allahul mukmin allahul muhaymin
Allahul azzizul jabbarrul muttaqabbir.





Sunday, November 27, 2011

Cerpen [Hadiah Hijrah]

      Cermin mata berbingkai hitam yang dipakai ditolak ke pangkal hidung. Bungkusan Munchys Speed Wafer Chocolate dikoyak perlahan. Bismillah. Wafer pertama masuk ke dalam mulut. Liya melemparkan pandangan kosong di hadapan.


     Beg sandang yang disilangkan ke bahu kanan ditarik keluar. Liya melepaskan lelah. Ikatan rambut 'ekor kuda' dikemaskan. Jam dipergelangan tangan dilihat. Hampir setengah hari Timesquares dijelajahi. Berseorangan. Ingin melepaskan tekanan peperiksaan. Coca cola yang berada ditangan dihirup rakus. Dahaga!  Liya bangun secara drastik dan berpusing kebelakang. Pap! Dia terdorong ke belakang. Air ditangan terlepas lalu tumpah mengenai kasut Convers kesayangannya. Terasa darah menyerbu ke muka. Geram. Mukanya pantas diangkat. 


'Ala,,  kau jalan tak pandang orang ke?' Dia bersuara sinis.
'Awak, sori.' Gadis itu menjawab. Liya memandang gadis itu dari atas ke bawah. Seluar jeans hitam dipadankan dengan Tshirt biru gelap melepasi lutut. Tertera tulisan 'iman inside' dibawah baju. Tudung biru awan lepas kebawah. Kemas. Wajahnya kelihatan bersih. Terus hilang rasa amarah yang membuku.
'Lain kali jalan tengok orang. Jangan main semberono je. Dahlah. Aku nak blah.' Liya lantas melangkah pergi. 
'Awak. Nama apa?' gadis itu bertanya pantas.
Liya berpaling sejenak. Mulut ingin menjawab. Berkira-kira ingin menjawab. Berfikir. Sesaat. Dua saat. Diam. Jelingan diberikan. Tajam. Gadis itu ditinggalkan terpinga-pinga. Namun dia dapat menangkap senyuman ikhlas yang diberikan.
'Ah. Lantak kau lah.' Monolog sendirian.


Liya tersedar. Lamunan dihentikan. Terimbau kenangan antara dia dan Liyana.


     MPH Midvalley menjadi destinasi. Elaun bulanan yang diberikan ibu bapanya baru sahaja diterima. Rak novel dituju. Satu persatu novel dibelek khusyu'. Tiada yang berkenan. Matanya terpaku kepada sebuah novel berkulit biru. Ditarik pantas. Ruang kosong rak tersebut memperlihatkan seorang gadis yang berada bertentangan dengannya. Mata mereka bertemu. Liya cuba mengaktifkan kotak memorinya. Gadis Timesquare. Mukanya ditarik masam. 'Spoil betullah.' Novel diletakkan semula. Ingin berlalu. Namun terasa langkahnya diekori. 
'Awak'. Gadis itu memanggil. Liya berhenti. Berpaling. Rambutnya yang diikat satu beralun ke kiri dan kanan. Gadia itu menghampirinya. 
'Saya Liyana. Panggil saya Yana'. Gadis itu tersenyum sambil menghulurkan tangan. 
Keningnya terangkat. Tanpa sedar,bibirnya mengukir senyuman. 'Saya Liya. Liyana Mokhtar.' Cool dia menjawab. 
'Wah. Nama kita sama lah.' Ceria Yana menjawab. Tangan yang dihulur masih tidak bersambut. Liya tersedar. Huluran tangan disambut. Bahu Liya diraih mesra dalam pelukan Yana. Liya terkedu.'Mesra sangat budak ni'. Sekali lagi monolog di hati.


     Liya melepaskan keluhan berat. Rindu. Bungkusan Munchys Speed Wafer yang telah kosong dikeronyok perlahan. Matanya meliar mencari tong sampah. Liya bingkas bangun. Tong sampah ditepi tiang dituju. Angin menampar lembut wajahnya. Tudung akel berwarna turquoise turut beralun lembut. Perkenalan antara Liya dan Yana secara tidak sengaja di Timesquares tidak terhenti di situ. Beberapa pertemuan tercipta lagi atas tiket kebetulan. 


     Tawaran menyambung pelajaran di Uitm Shah Alam dalam jurusan engineering tidak dilepaskan. Pintu biliknya dibuka perlahan. Dua katil, dua meja studi dan dua loker tersusun kemas. Beberapa buah beg baju kelihatan berada di atas katil sebelah kanan. Katil di bahagian kiri masih kosong. Itu katilnya. Dia meletakkan beg tarik ala-ala akademi fantasia di tepi loker. Beg sandang diletakkan di atas meja yang berhampiran dengan katilnya. Tidak sampai lima saat dia memperkemaskan kedudukannya di atas katil, pintu bilik dibuka dari luar. Salam diberi. Wajahnya dipalingkan ke arah suara itu. Dan sekali lagi. Rahang bawahnya terjatuh. Yana? Kecilnya dunia! Dan sekali lagi pelukan hangat diterima. Persahabatan termeterai pada hari pertama.


     Memori yang terimbau seolah-olah skrin televisyen yang memaparkan cerita. Begitu jelas di mindanya. Ma'thurat sughra pemberian Yana masih di genggaman tangannya. Liya baru sahaja usai membaca ma'thurat. Rutin Yana suatu ketika dahulu berjangkit pula kepadanya. 


     Hari pertama berkongsi bilik dengan Yana, Liya terasa sesuatu. Annoyed? Bukan. Ia lebih kepada perasaan ingin tahu. Urusan dan pekerjaan Yana agak teratur. Dia melihat pakaian-pakaian yang disimpan oleh Yana ke dalam loker. Jeans, Tshirt, Tudung dan beberapa helai baju kurung. Yana menyusun kasut B.U.M dan Conversnya ke rak kasut. 'Cool jugak budak ni.' Walaupun mereka berbeza dari pelbagai segi, namun persamaan pada nama membuatkan dia sungguh menyayangi Yana. Mungkin Yana sungguh istimewa. 


     Istimewa? Ya. Istimewa.
Sempoi. Tapi, solatnya on time. Azan je, dia dah bangun untuk berwudhu'. Dan dia perasan Yana akan membaca lebih kurang 2 helaian Al Quran setiap kali selepas solat. 
Selepas subuh dan asar mesti baca ma'thurat. Dalam pukul sembilan atau sepuloh pagi, Yana akan solat sunat 2 rakaat. Semua rutin harian temannya itu dalam ingatan. Isnin dan khamis puasa. Tidak pastilah ganti atau sunat. Tapi kalau dah setiap minggu asyik puasa pada hari tu, confirm-confirmlah puasa sunat. Kadang-kadang dia berasa malu dengan diri sendiri. 
'Kau tak rasa penat ke buat rutin harian kau setiap hari?' Liya memecahkan suasana sepi ketika dia dan Yana sedang mengulangkaji pelajaran. Meja studi mereka yang saling membelakangkan antara satu sama lain menyebabkan pertanyaan Liya kurang jelas. 
'Pardon?' Yana berpaling ke belakang. Pensel diletakkan ke bawah. Berhenti menulis nota. Take five.
'Taklah. Kau tak rasa penat ke buat rutin harian kau setiap hari?' Liya repeat.
'Maksud kau?' Yana bertanya kembali. Kakinya melangkah ke loker. Yana mengambil sebungkus kacang cap Nganyin dan melangkah ke katilnya. Menukar posisi. Plastik kacang dikoyak dibahagian tepi. Bakul sampah kecil ditarik dengan kaki kanan. Segenggam kacang diambil dan diberikan plastik bungkusan tersebut kepada Liya. Liya menyambut.
'Yelah. Solat sunat and those things yang bukan wajib tu. Tak rasa penat ke?' Liya bertanya lagi. Dia memandang Yana dengan lirikan mata sahaja. Yana sedang khusyu' membuka kacang. Sengih. Yana sengih.
'Aku buat semua tu sebab aku nak 'ambil hati' Allah.' Yana menjawab tanpa memandang Liya.
Rahang bawah Liya hampir terjatuh. 'Means?'
'Yela. Allah dah ciptakan aku. Bagi aku nyawa, rezeki dan segala nikmat atas dunia ni. Jadi, aku mestilah selalu bersyukur dengan segala pemberiannya. Ni, kacang nganyin ni pun rezeki yang Allah dah bagi tau..' Yana tersengih-sengih. 


    Pada waktu tu, dia tidak pernah terlintas bahawa semua benda yang dia dapat, even kacang Nganyin atau gula-gula sugus adalah nikmat atau rezeki dari Allah. 
'Sesungguhnya orang-orang beriman itu bersaudara...' Al hujjurat:10


     Bukan dia tidak terbangun untuk ke tandas pada pukul 2 3 pagi. Pernah, malah selalu. Dan setiap kali itu lah, dia akan melihat Yana sedang sujud, berteleku atas sejadah? Dia? Tidur dengan pelbagai gaya. Berkawan dengan Yana menyebabkan dia seakan terikut-ikut. Dulu solat pada waktu maghrib sahaja. Kini, solat 5 waktunya cukup sehari semalam. Walaupun kadang-kadang. Sekiranya graf dilakar, sudah pasti skalanya menaik. Cuma dia masih lagi berat untuk bertudung.
Yana bersiap ala kadar. Jeans hitam longgar dengan Tshirt coklat separas lutut. Tudung coklat lembut dibiar lepas ke bawah. Tidak terlalu labuh. Tidak terlalu singkat. Liya pernah melihat Yana solat dengan pakaian yang sedia tersarung di badan. Bila di tanya, syarat sah sembahyang bukan memakai telekung, tetapi menutup aurat. Jawapan dan senyuman diberikan serentak pada satu masa. Mereka berjalan-jalan di Masjid India. Sekadar mencuci mata melihat barang-barang. Dalam kekhusyukannya melihat barang-barang, Yana entah ke mana menghilang. Dia tercari-cari. Pap! Bahunya ditepuk perlahan. 'Kau ke mana?' Soalan direct diberikan Liya. Yana sengih. 'Saja jalan-jalan'.


     Liya masih bermalas-malasan di atas katil. Penat berjalan masih terasa. Yana sudah siap bertelekung. 'Jom ke surau?' Yana mempelawa.
'Tak pe lah. Aku solat kat bilik. Malas'. Yana menghulurkan satu bungkusan plastik.
Liya mengangkat keningnya. Hairan. Seakan mengerti, Yana membalas. 'Ambil je lah. Aku bagi hadiah'. 
Hilang sahaja kelibat Yana dari pandangan, Liya bangun membetulkan duduknya.Bungkusan tersebut di buka cermat. Siapa yang tidak suka hadiah? Dia terseyum sendiri. Sebaik sahaja bungkusan hadiah dibuka, melurut jatuh tudung akel berwarna turquoise ke atas riba. Hatinya tersentuh. Tudung bidang 45 dipegang cermat. Tidak sebesar tudung Yana. Namun, dari fabrik yang sama. Tanpa sedar, dia membawa kain itu ke dada.


     Aiskrim solero di nikmati sepenuh hati oleh Yana.
'Kau suka aiskrim?' Liya bertanya. 'Sangat'. Sepatah dari Yana. Liya mengangguk-angguk. 
'Apa azam kau tahun baru ni?' Yana bertanya.
'Tahun baru? Lambat lagilah. Ni baru nak masuk penghujung bulan sebelas.'
'Tahun baru Hijrah lah. Lagi seminggu kan nak masuk bulan Muharram.' Yana menjelaskan.
'Entah. Aku tak pernah lah pulak pasang azam tahun baru hijrah.' Yana sekadar mengangguk-angguk tanda mengerti.
'Kau ada azam baru?' Liya bertanya. Wajahnya dipalingkan menghadap Yana yang sedang khusyu' dengan solero di tangan.
'Ada. Impian pun ada'
'Huh? Apa impian kau?'
'Aku teringin nak tengok kau pakai tudung.' bersahaja jawapan diberikan.
Liya sudah menelan liur berkali-kali.
'Sebab apa?'
'Sebab aku sayangkan kau. Aku nak Allah pun sayangkan kau jugak.'
Liya terkedu. 
'Azam kau pulak?'
'Wahai jiwa-jiwa yang tenang. Kembalilah kepada tuhanmu dalam keadaan redha dan diredhai. Maka masuklah ke dalam golongan hambaKu. Dan masuklah ke dalam syurgaKu.'
Yana tenang membaca tafsiran Al Quran kepada Liya. Liya terasa berat di dalam dada. Rasa yang tidak dapat dijustifikasikan. Sebak. Sesak. Lemas. Semua bercampur menjadi satu. Terasa seolah menelan pasir-pasir pantai.



     'Weh, Liya. Jom makan. Aku ada beli nasi dengan lauk.' Yana berkata girang.
Surat khabar dibentang di atas lantai. Pinggan yang sedia ada diletakkan di atas surat khabar. Liya membetulkan sila menghadap makanan yang tersedia. Yana menbaca doa makan. Liya mengaminkannya. Semangat betul Yana makan hari ini. Suapan Yana terhenti. Automatik kunyahan Liya turut terhenti.
'Kenapa?' Liya bertanya. Mulut meneruskan kunyahan.
'Aku teringat arwah abang aku. Dia meninggal masa umur 6 tahun.' Yana meneruskan suapan. Liya masih menjadi pendengar. 'Orang cakap, budak kalau meninggal, terus ke syurga. Untungkan?' Liya sekadar diam. Tidak tahu hendak beriaksi apa. Sedangkan dia pun masih tercari-cari mana hala jalan yang betul.
'Kau rasa, kalau aku mati, aku masuk mana? Syurga ke neraka?' Yana makin giat bertanya.
'Pulak.. ni apa kes syurga pahala segala bagai ni..' Monolog Liya. Pertanyaan Yana dibiarkan sepi. Pura-pura tidak mendengar. Sepi. Yana meneruskan suapan.


     Yana mengemaskan barang-barangnya. Cuti selama seminggu ingin dimanfaatkan sebaiknya di rumah. 
'Nah, novel kau.' Yana menghulur novel 'Bagaikan Puteri', karya Ramlee Awang Mursyid.
'Lah. Kata nak pinjam?' Novel bertukar tangan.
'Tak jadi lah.'
'Ambil je lah. Naik cuti pulanglah.'
'Takut tak sempat nak pulang ke. Takut nanti rosak novel kau ni, adik-adik aku main.' Yana membalas malas. Liya menjongketkan sebelah bahu.
'Up to you'. Kunyahan Snickers diteruskan.
Yana mengangkat beg pakaian dengan tangan kanan. Tangan kiri memegang sesuatu. Menapak menghampiri Liya. Beg baju diletakkan ke bawah. Bungkusan yang berada di tangan kiri beralih ke tangan kanan.
'Nah.' Sepatah. Liya mengangkat muka. 
'Huh?' Anak mata mereka bertentangan.
'Hadiah sempena tahun baru Hijrah.'
Bungkusan bertukar tangan. 
'Boleh bukak sekarang?'
'Nope. Lagi seminggu. 1 Muharram.' Yana mengukir senyuman manis. Bukan. Senyuman termanis. Sesuatu sedang berlagu di dada. Ala-ala instrumen dalam drama Syurga Cinta. 
'Okeh. Aku nak gerak dah. Ayah aku dah sampai.'
'Ok. Sure tak nak pinjam novel aku?' Liya menginginkan kepastian.
'Sure.' Mereka bersalaman. Yana meraih Liya dalam pelukan. Pelukan yang hangat. Hangat dengan kasih sayang. Lama mereka berdakapan. 


     Sudah dua hari Liya di rumah. Playstation di tangan di genggam kemas. Game yang tertera di skrin di pandang penuh fokus. Melepaskan gian bermain game.
'Kak long. Ada orang call.' Aiman menghulurkan Samsung X2.
'Siapa?'
'Entah'. Aiman menjongketkan bahu. Mulutnya dicebirkan.
Samsung X2 hampir terlepas. 
'Mak. Kak long nak pinjam kereta. Nak pergi HUKM. Kawan kak long masuk hospital. ICU.'
Kunci kereta di capai. Menderu enjin Myvi SE meninggalkan perkarangan rumah.


     Air mata mengalir deras. Tidak mampu ditahan. Koma. Barah otak peringkat terakhir. Tiada harapan. 
'Kenapa saya tak tahu sakit Yana mak cik?' Liya sudah teresak.
'Mak cik pun tak tahu Yana ada sakit ni. Selama ni kami ingat dia hanya ada migrain'.


     Yana mencapai ubat tahan sakit. Ditelan dua biji. Ubat migrain. Ditelan dua biji.
'Kau makan ubat apa?' Liya bertanya. Concern.
'Migrain. Sejak aku tukar spek baru ni, kepala aku cepat pening lah. Mungkin power kuat sangat kot.' Yana merebahkan badan ke katil.
Liya mengangguk-angguk. Faham.
'Kau rasa, kalau aku mati, aku masuk mana? Syurga ke neraka?' 
'Ambil je lah. Naik cuti pulanglah.'
'Takut tak sempat nak pulang ke. Takut nanti rosak novel kau ni, adik-adik aku main.' 


     Wayar berselirat. Rambut Yana telah dibotakkan. Operation telah dijalankan. Namun, semuanya bergantung kepada Allah. Yaasin di capai. Di baca perlahan-lahan. Setelah sekian lama, pada hari itu, ayat Al-Quran meniti di bibir. Liya melangkah ke surau di tingkat bawah. Wudhu' di ambil. Telekung dicapai. Baru mencari Tuhan ketika susah? Ah, dia tidak peduli. Dia kasihkan Yana. Solat sunat hajat dua rakaat di lakukan. Sepenuh hati. Penuh pengharapan. Liya menghampiri wad ICU sekali lagi.


'Yaaa ayyatuhan nafsul mutmainnah. Irji'i ilarabbiki radhiyatan mardhiyah, fadkhuli fi'ibadi. Wadkhuli jannati...[Wahai jiwa-jiwa yang tenang. Kembalilah kepada tuhanmu dalam keadaan redha dan diredhai. Maka masuklah ke dalam golongan hambaKu. Dan masuklah ke dalam syurgaKu.] Liya mampu mendengar kalimah yang dibisikkan ayah Yana ketelinga teman yang terbaring lesu. Dia memejam mata seerat mungkin. Mengharapkan apabila matanya terbuka, itu hanyalah mimpi. Mimpi ngeri.
'Aku teringin nak tengok kau pakai tudung.'
'Sebab apa?'
'Sebab aku sayangkan kau. Aku nak Allah pun sayangkan kau jugak.'
Doktor melangkah masuk menghampiri Yana. Mukanya serius. Ayah Yana mengangguk-angguk tenang.
'Doktor kata, anak saya dah tiada harapan. Cuma ada satu pilihan. Doakan dia cepat dan mudah 'pergi'. Kita tak mahu dia terus menanggung kesakitan.'
'Allah.. Aku redha. Dia terlalu baik. Dan aku tahu Engkau lebih sayangkan dirinya dari aku.' Tahajjudnya malam itu sungguh panjang. Tahajjud pertama dalam hidup. Beep. One message received. Berdebar-debar.
'Salam. Liyana Abdullah telah kembali ke rahmatullah pada jam 3.37 pagi tadi.'
Dia meraung di dalam hati. Samsung X2 dibiarkan sepi.


     2 Tahun telah berlalu. Namun ingatan yang satu sukar dihapuskan. Ingatan yang menjadi turning point bagi kehidupannya. 180 darjah. Tudung akel berwarna turquoise dipakai cermat. Fail-fail didakap kemas. Beg sandang digalas di bahu kanan. Bismillah. Liya melangkah keluar dari bilik.


'Boleh bukak sekarang?'
'Nope. Lagi seminggu. 1 Muharram.'
1 Muharram. Sehari selepas Yana pergi, bungkusan itu di buka.
1 Ma'thurat sughra.
1 Al-Quran mini tafsir.
Sehelai jadual mutaba'ah amal.
Dan sekeping kad.


Dear Liya, selamat menjadi yang lebih baik sempena 1 muharaam yang bakal menjelma. Tahun baru dengan azam yang baru, ya? :)


'Then did you think that We created you uselessly and that to Us you would not be returned?' [23:11].


'And I did not create the jinn and mankind except to worship Me.' [51:56]


'We have certainly created man in the best of stature' [95:4]


'And [remember] when your Lord proclaimed, 'If you are grateful, I will surely increase you [in favor]; but if you deny, indeed, My punishment is severe'. [14:7].


With love,
Yana..












     



Monday, October 17, 2011

Aiman & Munirah [Cerpen]

     Masing-masing khusyuk menghadap laptop. Fokus menyiapkan 'assingment'. Kipas yang berputar laju menghilangkan keringat mereka. Menjadikan katil sebagai meja memang solusi terbaik bagi mengelakkan tidur di petang hari. Lagu 'Penghujung Rindu' nyanyian Jamal Abdillah telah diulang main sebanyak 7 kali. Aiman menghirup 'hot choclate'nya yang masih berasap nipis secara perlahan. Menikmatinya mungkin.
'Dah tujuh kali kau putar lagu ni. Kau perasan tak?' Aiman bertanya. Matanya masih di skrin laptop. Munirah berpaling. 'Kau kira ke?'. Dia membalas pertanyaan dengan pertanyaan. Aiman mengangguk. Munirah tersenyum nipis. Tangan yang terhenti, meneruskan pekerjaan.
Munirah berhenti sekali lagi. Lama. 
'Aiman.' Dia diam, menunggu reaksi Aiman. 
'Hmm..'. Aiman menjawab. 'Kau agak-agak kehidupan kau macam mana?'.
Kali ini giliran Aiman pulak yang terhenti. Wajahnya dipalingkan kepada sahabat.
'Maksud kau?'.
'Maksud aku, macam mana cara kau menghargai kehidupan kau?'
Soalan Munirah membuatkan Aiman terdiam. Seminit. Dua minit. Masih tidak beriaksi.
Tidak lama kemudian, Aiman tersenyum. 
'Cara kau menghargai kehidupan kau pulak, macam mana?'. Munirah sudah mula terasa pelik. Soalan berbalas soalan.
'Ala.. kau jawab dulu. Nanti aku jawab soalan kau. Dengan aku pun nak berkira ke?' Aiman cepat-cepat berkata sebelum Munirah menzahirkan protes.
'Kalau aku, aku enjoy lah kot. Manfaatkan masa muda ni, buat apa yang kita suka. Tengok wayang, pergi main banyak-banyak games dekat Time Square, shopping bila ada sales dan buat benda-benda yang enjoy lah.'
Aiman mengangguk. 'Betul cara kau hargai kehidupan kau. Salah satu cara menghargai kehidupan adalah dengan tidak melakukan maksiat terhadap Allah. Kau boleh buat apa sahaja yang kau nak buat, as long as perbuatan itu tidak melanggar perintah Allah.' Aiman tersenyum manis.
'Kau boleh je nak pergi shopping, nak pergi main game dan sebagainya, asalkan kau buat semua tanggungjawab kau sebagai hamba Allah. Tutup aurat, solat 5 waktu, taat kepada ibu bapa.' Munirah mengangguk-anggukkan kepalanya, tanda faham.
'Tapi kan mun.. menghargai kehidupan tak sama dengan memaknakan kehidupan.' Aiman berkata lambat-lambat. Berharap sahabatnya memahami kata-katanya.
'Means?'
'Bila-bila difikir-fikirkan balik, kehidupan kita ni saaangatt singkat, kan? Tengoklah, pejam celik pejam celik, umur kita dah nak masuk 22, kan?' Munirah diam sambil mengangguk.
'Agak-agaklah lah kan, kita ni nak mati umur berapa?' Aiman sengaja bertanya. Dia memandang Munirah. Munirah membalas pandangannya. Munirah tahu, pertanyaan itu bukan untuk dijawab, tetapi untuk difikirkan.
'Mun, cuba kau google jap maksud Surah Al-mukminun, ayat 115.'
'Hah? 0oo, okey-okey. Jap ea'.
Lama Munirah mengambil masa. Mencari, membaca dan cuba untuk memahamkan. Aiman hanya memandang gerak geri sahabatnya itu. Mereka bersahabat sejak dari sekolah rendah. Ke sekolah bersama. Terpisah ketika sekolah menengah, namun percaturan Allah, mereka bertemu semula ketika masing-masing menyambung pengajian di Universiti.
'Nak aku bacakan ke? Munirah bertanya. Aiman mengiyakannya.


'Maka, apakah kamu mengira bahawa Kami menciptakan kamu secara main-main sahaja dan bahawasanya kamu kepada kami tidak akan dikembalikan?'


Suara Munirah semakin kendur apabila membaca tafsiran tersebut.
'Mun.. Allah dah warning kita dah yang kehidupan kita ni bukan untuk main-main. Tugas kita adalah untuk memaknakan kehidupan kita.'
'Macam mana nak memaknakan kehidupan? Munirah bertanya. Innocent mukanya. 
'Dengan cuba 'mengambil hati' Allah.' Rahang Munirah terjatuh ke bawah. 'Hah?'. 
'Buat yang Allah suruh, tinggal yang Dia larang. Itu yang paling penting.'
Aiman diam sebentar. Mengambil nafas. Dia memandang wajah sahabat, penuh kasih sayang.
'Buat semua tu dengan penuh rasa kehambaan.'
'Menjadi Hamba Allah bukan bermakna kena tinggalkan semua perkara berkaitan dunia. Kita cuma jangan membelakangkan Allah dalam segenap perkara. Itu je. Mun fahamkan?' Munirah terdiam. Sedang berfikir mungkin. Tangan Munirah sengaja digenggam erat. Ingin sekali dia mengalirkan aura kasih sayang melalui genggaman tangan mereka.
'Salah satu cara memberi makna dalam kehidupan ialah, pabila kita beroleh ketenangan. Walau kita enjoy macam mana sekalipun, kita tidak akan dapat ketenangan sekiranya kita jauh dari Allah, kan?'
Mata Munirah mula berkaca-kaca. 
'Tapi.. aku ni bukannya baik sangat. Tengoklah, tudung pun singkat. Pakai stokin pun tak. Tak tutup aurat kadang-kadang. Allah nak ke sayang kat aku ni?
Aiman tersenyum simpul.
'Mun.. jangan lupa, Allah ni Maaahaa Penyayang. Maaahaa Pengasih. tiada siapa yang boleh tandingi sifat pengasih dan penyayang Allah. Kalau Mun rasa, ibu Mun yang paling sweet, paling penyayang. Allah laaagii sweet dan penyayang dari tu. Jangan cepat putus asa dengan Allah. Sebab tu, kita kene CUBA untuk jadi hamba Allah yang BAIK. 
'Mun jaga hubungan Mun dengan Allah, Allah akan jaga urusan dan kehidupan Mun yang selebihnya.
'Kita sama-sama berubah untuk jadi hamba Allah yang baik. Kita nak Allah sayang pada kita. Jadi, kita kene buat apa yang Dia suruh. Dia suruh pakai stokin, kadi kita kena pakai. Dia suruh tutup aurat, kita kena buat. Dia suruh solat, kita solat. Islam ni simple, kan? Aiman memegang bahu sahabatnya. Genggaman tangan sahabat semakin dieratkan. Munirah tersenyum sambil menyapu sisa air mata. 'Hot Choclate' yang sudah kehilangan asap-asap nipis dihirup. Kehilangan sedikit kenikmatan air itu. Namun kenikmatan yang satu ini tidak dapat menandingi kenikmatan itu. Kenikmatan berukhwah.


Aiman tersenyum lebar.
'Siapa tak nak bercinta dengan sahabat sampai ke syurga oooiii'. Hati Aiman bermonolog.





Saturday, October 1, 2011

Teman baru.

Bismillah,


Selawat dan salam ke atas junjungan tercinta Muhammad S.A.W.


Alhamdulillah di atas segala-galanya. Semakin meniti hari, semakin banyak nikmat yang Allah kurniakan kepada saya.


Baru-baru ini, saya mendapat teman seperjuangan yang baru. Saya namakannya Mus'ab. Moga-moga dengan adanya Mus'ab, pergerakan saya akan semakin melaju. 


Mus'ab akan sentiasa mengingatkan saya kepada seorang sahabat yang sanggup meninggalkan segalanya kerana keimanannya kepada Allah dan Rasul.


Dan saya ingin sekali menjadi seperti Mus'ab. Moga-moga saya bisa.


Dengan segala nikmat yang Allah kurniakan. Saya terfikir. Adakah segala nikmat itu saya gunakan sebaiknya untuk Islam.


Jika tidak, maka saya telah kufur nikmat!


P/s: Saya akan cuba untuk memanfaatkan kehadiran Mus'ab dalam hidup sebaik mungkin. 


.::Mus'ab::.








Ya Allah, berikanlah aku kekuatan dalam ketaatan kepadaMu.

Tuesday, September 6, 2011

Rezeki

Bismillah.


Soalan femes yang akan ditanya kepada saya apabila berjumpa rakan2 emak dan ayah ialah,


'Belajar jurusan apa?'.


Saya pula dengan bangga menjawab, 'fiqh fatwa'. [Sambil tersenyum].


Saya akan disoal balas. ' Nak kerja apa ambil kos tu? Ada ke orang nak ambil kamu kerja?'


Jawapan standard, 'InshaAllah' . [Juga sambil tersenyum]




*************


Malam itu, saya berkelana mengambil angin bersama ayah.


Kami singgah di kedai burger yang berdekatan.


Kelihatan banyak kucing yang berkeliaran di tepi jalan, mencari makan mungkin. Mereka kelihatan lapar.


Sedang menunggu burger yang telah dipesan. Saya terdengar perbualan antara ayah dan anaknya.


Kanak2: Ayah, kesian kucing2 ni. Macam mana diorang nak makan? Macam lapar je ni.


Si ayah: Habis tu, takkan nak kasi kucing makan burger?


Kanak2: Kalau kita tak bagi diorang makan, mesti diorang tak makan. *Berkata dengan yakin*


Si ayah hanya mendiamkan diri sambil menyalakan puntung rokok.


Tidak sampai 10 minit, kucing2 yang berkeliaran tadi berlari menuju ke suatu tempat.


Saya menjadi hairan.


Rupa-rupanya, baru saya tahu terdapat seorang pak cik yang menjadikan tugas memberi makan kucing yang berkeliaran di jalan raya sebagai rutinnya setiap hari!


Subhanallah. Hebatnya Allah. Kebajikan haiwan pun dipelihara. 


Inikan pula kita yang bernama Khalifah.




P/s: Siapa kata belajar ilmu agama tiada kerja. 


Rezeki dari Allah, kan?

























Kayu ukur

Bismillah.


Ayah dan emak saya merupakan peniaga yang tegar. 


Sebagai anak, cuti semester dihabiskan dengan menimba pengalaman meniaga.


Bermacam ragam manusia yang saya jumpai.


Ada yang datang dengan pakaian yang 'cukup-cukup makan sahaja'.


Ada yang tidak bertudung, tetapi cukup santun dan taat kepada ibu bapa.


Ada yang bertudung labuh, namun agak kasar dengan orang tua.


Tidak kurang juga yang berkopiah, tetapi bersalaman dengan wanita.


Ada juga yang berseluar pendek tetapi cukup pemurah.


*Apa yang saya cuba katakan?*


Saya tidak memandang serong pada mereka yang bertudung labuh. Saya tidak memandang sinis pada mereka yang berkopiah. 


Apa yang ingin saya katakan, pakaian bukan penentu tahap keimanan dan kayu ukur ke syurga atau sebaliknya. 


Pakaian yang kita pakai adalah tanda ketaatan kita kepada Allah.


[Allah berkehendakkan kita memakai mengikut protokol yang ditetapkan oleh Dia]


Nak masuk syurga, haruslah taat kepada Allah, ye dak?


*Apa yang saya cuba katakan?*


Saya teringat kata-kata Ibn Atoillah:


'Janganlah kamu bergantung kepada amalan kamu, kerana masuknya manusia ke dalam syurga adalah kerana Rahmat Allah. Maka berlepaslah kamu dari amalan kamu'.






P/s: Moga2 entri ini tidak disalah erti.

Saturday, August 27, 2011

Dekan dari Tuhan

Bismillah.                                                                                                                   Ramadhan 28


Waktu peperiksaan telah tamat.


Result yang dinanti akhirnya diketahui.


A: Macam mana result?


B: Alhamdulillah, dekan lagi. [Tersenyum bangga] Awak?


A: 4 Flat! 


B: Wow! Tahniah.


Mahasiswa Ramadhan

P/s: Selamat bergraduasi. Dekan dari Tuhan?

Detik-detik terakhir Ramadhan.

Win or lose?

Bismillah.                                                                                           Ramadhan 28                                                                                                                                     


Tiada rasa.


Syawal bakal menjelma.


Ramadhan hampir meninggalkan kita.




****************


Tiada Tuhan melainkan Allah Yang Tunggal,
Yang Menepati janjiNya,
Yang Menolong hambaNya, 
Dan Yang Memuliakan tenteraNya dalam mengalahkan tentera al-Ahzab dengan sendiri (KekuasaanNya), 
Tiada Tuhan melainkan Allah dan Allah Maha Besar


Taqabbalallahuminni wa minkum.


*****************

Selamat menyambut Hari Kemenangan.

Menangkah kita? 

Atau tewas semata?

'La'allakum tattaquun'..


Kullu 'am wa entum ilallahi aqrab!










Wednesday, August 24, 2011

Moga kita bertemu lagi.

Bismillah.                                                                                                         Ramadhan 25.


Lagi beberapa hari lagi Ramadhan bakal berlalu.


Risau.


Puasa yang berkesan, mendekatkan diri kepada Tuhan.


Begitu juga sebaliknya.


Ramadhan bagaikan kekasih.


Berjumpa setahun sekali.


Sepatutnya dirai sepenuh hati.


Amalan dijaga agar menyubur cinta.


Jika peluang ini disia-sia.


Khuatir.


Inilah Ramadhan yang terakhir kita.


Ramadhan bagaikan madrasah.


Memasukinya untuk ditarbiyah.


Jika zaman persekolahan ini di sia-sia.


Khuatir kita keluar sebagai insan yang tiada apa.


Lagi beberapa hari yang masih berbaki.


Langkah kaki harus lebih berhati-hati.


Laju dan maju tiada henti. 


Moga Taqwa mampu kita perolehi.


Menjadi Hamba Rabbul Izzati.






Kekasih, moga kita bertemu lagi.


Menyulam kasih cinta Illahi.





Sunday, August 21, 2011

Agar kamu bertaqwa

'Agar kamu bertaqwa'











Bismillah. 


Ramadhan 22..



Terasa pantas Ramadhan berlari. 
Atau mungkin langkahku yang terhenti-henti.
Adakah aku dalam golongan yang rugi?

“Wahai orang-orang yang beriman! Diwajibkan berpuasa ke atas kamu sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang yang terdahulu daripada kamu, agar kamu bertaqwa {Al-baqarah:183}

Dahulu saya hanya memandang ayat ini sebagai ayat yang hanya mewajibkan puasa ke atas kita.

'Agar kamu bertaqwa'.

Taqwa yang diperolehi dipenghujung Ramadhan.
Buah puasa adalah Taqwa.
Subur puasa kita, berbuahlah taqwa.
Layu puasa kita, kempunanlah kita hendak merasa.

9 hari yang makin bersisa jangan disia-sia. 
Didalam 336 hari, 30 hari (kadang2 29) yang diberi cukup istimewa.
Ditutup pintu neraka.
Dibuka pintu syurga.
Pahala yang berlipat kali ganda.

'Agar kamu bertaqwa'.
'Agar kamu bertaqwa'.
'Agar kamu bertaqwa'.

Rugi dan celakalah bagi sesiapa yang menemui Ramadhan tetapi tidak diampuni dosanya
- mafhum hadith Nabi.

p/s: Selamat memanfaatkan sisa2 ramadhan yang ada.
Selamat menikmati buah taqwa.

[Pesanan dan ingatan untuk diri sendiri].


Info: Para salafussoleh menjadikan ramadhan sebagai bulan kemuncak di dalam pentarbiyahan diri. Mereka menjadikan 11 bulan sebelumnya sebagai persediaan menghadapi Ramadhan.
Sedangkan kita menjadikan Ramadhan sebagai bulan untuk menghadapi 11 bukan mendatang. Terbalik bukan? Kita pula baru terhegeh-hegeh hendak mentarbiyah diri.
Merasakah kita buah taqwa?