Tuesday, August 31, 2010

21 vs 31


Alhamdulillah a'la kulli hal~
      Seribu kesyukuran dipanjatkan kehadrat Allah di atas segala ni'mat yang diberikan. Sejak kebelakangan ini, saya seolah2 hilang segala upaya untuk mencoretkan sesuatu sebagai perkongsian bersama. Upaya di sini adalah dari sudut idea dan juga ilmu. Kurang membaca barangkali. Mana bisa orang yang tidak mempunyai apa-apa hendak memberi apa-apa kepada saudaranya yang lain. Begitulah juga halnya dengan saya.
     Berbalik kepada hari ini, iaitu hari yang sangat-sangat bersejarah, siapa sangka tarikh keramat 31 Ogos jatuh pada tarikh keramat 21 Ramadhan, iaitu permulaan kepada 10 malam terakhir di bulan ramadhan. Sudah lama saya menyimpan angan-angan untuk bertemu saudara-saudara saya yang berada di luar sana yang mana biah mereka barangkali berbeza dengan biah yang kita perolehi di sini. Gusar. Saya cukup gusar, andaikata saya dipersoalkan di akhirat sana kerana tiada usaha untuk bertemu mereka. Atas ajakan beberapa orang sahabat, saya menerima pelawaan mereka untuk bertemu saudara seagama saya di luar sana. Pertama kali hati ini terdetik, mana mungkin kemungkaran itu bisa berleluasa di bulan yang penuh dengan rahmat dan keampunan Allah. Saya menyangka pasti ramai di antara kita yang sedang berlumba-lumba untuk mendapatkan satu malam yang mana lebih baik dari seribu bulan.
     Ternyata sangkaan saya meleset. Pertama kali berada berhampiran mereka, serta merta hati ini sayu. Sungguh sayu. Serta merta saya merasakan seribu kesyukuran yang tidak terhingga. Jikalau bukan dengan rahmat Allah, pasti saya tidak menjadi saya pada hari ini. Jikalau bukan dengan kehendak Allah, barangkali saya menjadi salah seorang daripada mereka. Nauzubillah,mohon dipelihara Allah. Sungguh, nikmat IMAN dan juga ISLAM lah yang paling berharga.
     Bergerak untuk mengedarkan risalah kepada mereka. Dalam hati, saya berdoa, moga-moga risalah ini diterima dan dibaca oleh mereka. Moga risalah ini menjadi wasilah untuk mereka menerima hidayah daripada Allah. Peringatan diterima agar mereka didekati dengan penuh kasih sayang, bukan dengan pandangan yang jelik dan menghina. Ya! Kasih sayang. Teringat suatu petikan daripada majalah solusi yang berjudul 'melebur takabbur'. Apabila kita melihat seseorang itu melakukan maksiat, maka janganlah kita membenci pembuat maksiat tersebut, tetapi bencilah akan perbuatan maksiat itu. Kerana, kita sendiri tidak tahu, selama manakah kita akan terus berada di dalam kebaikan, dan selama manakah mereka yang melakukan maksiat akan terus melakukan maksiat. Kerana, segala-galanya yang berlaku adalah atas kehendak dan kekuasaan Allah. Maka, berdoalah moga-moga kita sering didorong untuk sentiasa mentaati Allah. Telah berkata Syeikh Ibn Ata'illah dalam al-hikam, bahawasanya: "sebaik-baik permintaan yang harus kamu pohon daripada Allah adalah kemampuan melaksanakan apa sahaja yang Allah perintahkan kepada kamu".
     Bersua muka bersama saudara seagama yang berada di dunia luar banyak menyedarkan saya betapa bernilainya hidayah Allah itu. Janganlah kita mempersiakan hidayah tersebut. Takut takut, Allah tidak sudi untuk menghantar hidayahNya kepada kita lagi. *Nauzubillah*

Teringat satu kata-kata, bahawasanya ujian yang diterima oleh seseorang adalah berdasarkan tahap keimanannya kepada Allah. Semakin tinggi tahap keimanan, semakin besar tahap ujiannya. Setiap manusia itu, takkan terlepas daripada ujian Allah S.W.T. Menjadi orang biasa, kita akan diuji, menjadi orang yang 'luar biasa' pun turut diuji. Cuma tinggal pilihan kepada kita, samada hendak diuji sebagai orang yang biasa ataupun orang yang luar biasa. Samada hendak diuji sebagai seorang madu' ataupun diuji sebagai seorang daie.
Akhir kalam, moga sekolah ramadhan kali ini bakal melahirkan graduan-graduan yang berkualiti dari sudut iman dan juga taqwanya sekaligus menambahkan bilangan mereka yang menjadi mata-mata rantai perjuangan Rasulullah S.A.W. Moga-moga seluruh umat Islam mendapat taufiq dan hidayah Allah. Moga-moga Allah yang Maha Pengasih dan Penyayang sudi untuk mengasihi dan menyayangi hamba-hambaNya yang amat membutuhkan kasih dan sayangNya. Wallahua'lam.

p/s: 9 hari lagi ramadhan bersama kita~


No comments: