Friday, January 6, 2012

Ayah & Emak both are from Earth :)

Bismillah dan segala puji bagi Allah.


Ianya sabtu dan saya berada di rumah keluarga.
Jarak diantara Nilai dan Selangor yang dekat membuatkan mak dan ayah sering menuntut kepulangan saya. Dan permintaan itu hanya terkadang sahaja mampu saya penuhinya.
Minggu ini saya pulang meraikan permintaan mak dan ayah :)


Pagi itu emak memasak nasi goreng kampung bersayurkan sawi [ayah saya bukan penggemar sawi]


Emak: Abang, jom makan [Sambil menghidangkan sarapan]. Ayah saya pantas membetulkan duduk di atas kerusi.
Saya: Ayah, sedapkan nasik goreng mak. 
Ayah: Nasi goreng ni, rasanya sekata. Ada rasa pedas, masin. Warna agak menarik. Namun, bahan yang digunakan oleh Puan Midah [mak saya] adalah tidak tepat [ayah bagai juri masakan]
Saya: ?? Bahan apa?
Ayah: Sebab ada sawi. [Ok, ayah bukan penggemar sawi]. Dan ayah mula mengasingkan sawi ke dalam pinggan emak. :)
Emak: Ayah memang suka kutuk emak. Kamu dengar je lah, Ain.
Saya memandang emak. Emak hanya tersengih. 


Petang itu, sedang saya menolong emak di dapur, kami bersembang-sembang kosong anak beranak.


Saya: Mak, ayah tu memilih tak bab makan? [Saya fikir, mak akan berkata 'ya' kerana baru sahaja dikritik nasi gorengnya].
Emak: Ayah kamu lah yang paling tak memilih. Dia tak pernah minta mak masak apa yang dia nak makan. Mak masak, semua dia makan.
Saya: Sekali pun ayah tak pernah minta mak masak special untuk dia?
Emak: Tak. Sekali pun tak pernah.
Saya terkagum sendiri. Jika dihitung, hampir 27 tahun usia perkahwinan emak dan ayah. 


Ayah memang suka mengusik emak. Mungkin disebabkan kami adik beradik semua tinggal di asrama, rumah sewa, dan hanya mereka berdua di rumah, ayah sering menyakat emak. Dan emak pula, akan berleter kepada ayah. Saya teringat 3 bulan lepas ketika emak saya demam panas.


Ayah: Ain, ayah lebih rela dengar mak kamu berleter kat ayah satu hari, daripada senyap macam ni [mak demam, jadi hanya tidur].
Saya: Yeke, ayah?
Ayah: Ye lah. Ayah susah hati mak kamu tak berleter kat ayah sehari. Mak kamu berleter ayah sakit telinga, mak kamu diam macam ni[disebabkan demam], ayah sakit dada, susah hati.
Saya: Hanya mampu mengangguk-anggukkan kepala.
Dan petang itu, ayah sibuk memasak sup ketam kepada emak. Hanya 2 ekor sahaja ketam yang dimasak. Bila ditanya kenapa 2 ekor sahaja, sedangkan kami adik beradik ramai, ayah hanya menjawab, ni special untuk emak :). Dan emak, hanya tersenyum dalam sakit :)


Pabila berada di rumah, topik perbualan emak dan ayah, kadang2 seakan-akan 'tiada isi' bagi saya. Saya terkadang berasa hairan.


Emak: Abang, cuba tengok bang chaq [nama kucing kami].
Ayah: Kenapa dengan dia? [sambil mencari2 bang chaq].
Emak: Tengoklah dia tidur. Teruk betul gaya nya.
Ayah: Ha'ah. Kenyanglah kot. Saya bagi makan tadi.
Emak: Abang bagi makan apa?
Ayah: Saya...bla bla bla..
Dan perbualan mereka terus berkisar tentang kucing2 yang berikutnya. Unik, bukan? Saya hanya mampu tersenyum.


Alhamdulillah dan alhamdulillah untuk yang kesekian kalinya. Kami bukan dari keluarga yang berada. Kami dari keluarga yang biasa. Dan alhamdulillah untuk segala-galanya.


Saya tiba-tiba terfikir, pernah ke mak ayah membaca buku, 'Men are from Mars, Women are from Venus?' 










[Entah mengapa saya terasa ingin menulis tentang ini. Tiada sebab. Cuma saya hanya rasa rindu.] :)

No comments: