Tuesday, May 4, 2010

Zainab

Pertama kali menjejakkan kaki ke dunia, si ayah lantas mengalunkan iqamat di telinga sang puteri. Dikucup dahi si anak dengan penuh rasa kasih. Anak kecil yang baru hendak mengenal dunia itu seakan-akan tersenyum. Mengeliat kecil. 'Alhamdulillah'. Kalimah kesyukuran terlafaz jua. Air mata yang bertakung di tubir matanya, dikesat perlahan. Puteri yang dinantikan selama ini akhirnya tiba. Penantian dan kesabaran selama 10 tahun akhirnya membuahkan hasil. 
'Nak letak nama apa ni?' tersenyum memandang zaujahnya yang jelas kelihatan pucat.
'Zainab'. tersenyum. Riak kegembiraan tidak dapat disembunyikan lagi.
Si suami lantas memahami. Mengerti. Nama itu sungguh sinonim pada pendengarannya. Sudah semestinya dia mengerti. Sepanjang tempoh kehamilan, nama Zainab sering meniti di bibir isterinya.
'Kalau kita dapat mujahid, nak letak nama Hassan al Banna', dia tersenyum.
'kalau kita dapat mujahidah, nak letak nama Zainab'. senyuman si zaujah berbalas.
Dia mengerti mengapa nama-nama itu menjadi pilihan suri hidupnya. Ingin pewaris mereka mengikuti jejak langkah mereka. Lantas, kepalanya dianggukkan tanda bersetuju. Dialog yang berlaku 5 bulan lepas bermain-main di fikiran.

*****************************************
Puterinya yang berusia 5 tahun semakin menunjukkan kecerdasannya. Menjangkau usia 4 tahun, kitab suci al-quran telah mula dibaca. Asuhan umi dan ayahnya. Bacaannya lancar walaupun perlahan. Doa untuk Zainab seringkali dititipkan oleh ayah dan uminya. Doa mereka agar si puteri mampu mencontohi Zainab puteri Rasulullah, dan moga-moga peribadinya persis Zainab Al-ghazali. Besar harapan mereka. Besar cita-cita mereka. Demi islam,agama tercinta.

*****************************************
Menginjak ke usia 20, fikirannya makin matang. Matlamatnya makin jelas. Cita-citanya makin besar. Tekadnya makin membulat. Bukan sekali dua kisah Zainab bermain di cuping telinganya. Bahkan, berkali-kali. Uminya sering menjadi 'narrator' bagi kisah tersebut. Tanpa jemu! Dari kecil, hinggalah dewasa, kisah yang sama masih diminati. Zainab. Nama keramat. Zainab. Nama mujahidah yang hebat. Zainab. Jihad dan semangat. Dan zainab, adalah namanya. Ya! Namanya. 
'Dengan tekad di hati, jalan ini akan kutempuhi'. 'Jasad ini, darah ini, sepenuh redha Illahi'.

Betapa dia terkesan dengan kisah Zainab. Kisah seksaan yang dihadapi oleh Zainab al-ghazali menjadi pemangkin semangat baginya ketika mana dirinya berhadapan mehnah yang pelbagai. Dia mahu menjadi persis seperti beliau. Bermati-matian kerana islam. Berjihad kerana Allah.Kerana dia tahu, hidupnya ini kerana Allah. Moga-moga hatinya ini sering dipandu oleh Allah ke arah itu. Kerana, Allah lah pemilik hati setiap insan.  
*****************************************
"Sedangkan sebelum ini, aku memutuskan untuk membujang sepanjang hayat bagi mewakafkan seluruh kehidupanku hanya untuk da'wah. Aku tidak memintamu menyertaiku dalam berjihad, tetapi aku hanya mensyaratkan supaya kamu tidak menghalangiku di dalam bejihad di jalan Allah. Aku memohon kepada Allah supaya Dia menjadikan pahala jihadku dibahagi dua antara kau dan aku sebagai kurnia daripada Allah apabila Dia menerima amal dan usahaku". - petikan daripada buku Hari-hari dalam hidupku, karya Zainab al-ghazali [kata-kata Zainab al-ghazali kepada suaminya].

 

No comments: