Friday, May 28, 2010

Berhati-hati dengan hati..

Salam. Permulaan kalam, bismillah~
Sudah tiga minggu semester pendek ditempuhi. Alhamdulillah,segala-galanya berjalan lancar,dengan izin Allah yang maha Pengasih.
'manusia merancang, Allah juga merancang, dan Allah jualah sebaik-baik perancang'.
Subjek aqidah adalah satu-satunya subjek yang harus kami ambil bagi semester pendek pada kali ini. Salah satu ciri-ciri aqidah islamiyyah adalah, aqidah mampu mempengaruhi akhlak insan. Pernah saya dan ahli bait saya berbual-bual. Bagaimanakah Bilal bin Rabah mampu menahan seksaan yang keras daripada kaum kuffar? Bagaimanakah saidina Ali sanggup menggantikan Rasulullah di pembaringannya,sedangkan dia tahu nyawanya dalam ancaman. Dan bagaimana Sumayyah,ibu kepada Ammar bin Yasir sanggup disula,asalkan agamanya tidak tergadai. Semua ini adalah kerana keajaiban IMAN..dan sudah semestinya iman berkait rapat dengan aqidah. Iman juga berkait rapat dengan hati. Kerana..ta'rif iman itu sendiri,
'membenarkan di dalam HATI, melafazkan dengan lidah dan menzahirkan dengan amal perbuatan'.

Berbicara soal hati, teringat ceramah yang pernah di sampaikan oleh Ustaz Zahazan. Antara 2 doa yang sering dibaca oleh Rasulullah ialah, ' Ya Allah, tuhan yang membolak balikkan hati-hati manusia, tetapkanlah hatiku di dalam agamaMu,di dalam ketaatan kepadaMu,di dalam da'wahMu dan di dalam beribadat kepadaMU'. 
Doa ini sering dibaca oleh insan yang pernah dibelah dadanya dan dicuci hatinya dengan air zam zam. Significant peristiwa penyucian hati baginda menunjukkan bahawa betapa pentingnya 'tazkiyyatun nafs' iaitu penyucian jiwa dan juga penjagaan hati. Betapa pentingnya menjaga hati bagi manusia, lebih-lebih lagi bagi mereka yang bergelar dai'e.  Kerana,seorang dai'e yang ingin membawa hati-hati manusia kepada Allah,haruslah hatinya bertaut rapat dengan Allah [ditujukan untuk diri sendiri yang sering lagha]. *Allah jua yang memegang hati-hati manusia*.

Ada riwayat yang mengatakan bahawah hati-hati manusia ini berada antara 2 jari Allah[genggaman Allah], dan Dia yang akan membolak-balikkan hati-hati tersebut. Maka berdoalah padaNya agar hati kita tetap teguh atas jalanNya. Luqman al hakim, ketika mana di minta oleh tuannya untuk menyembelih kambing dan datangkan kepada tuannya 2 bahagian yang paling baik, Luqman al hakim telah membawa hati dan lidah. Begitu juga apabila disuruh datangkan kepada tuannya bahagian paling buruk, hati dan lidah juga ynag menjadi pilihannya. Apabila ditanya, jawab Luqman al Hakim, yang telah dianugerahi Allah dengan Hikmah,'hati baik, maka baiklah lidahnya. Hati yang rosak, maka rosaklah lidahnya'.
Sabda  Baginda rasul mafhumnya, 'Ketahuilah di dalam jasad manusia, terdapat seketul daging, jika baik daging tersebut, baiklah keseluruhannya, jika buruk daging tersebut, buruklah keseluruhannya, ketahuilah, ianya adalah HATI'.

Betapa pentingnya peranan hati bagi seseorang individu. Hati umpama otak yang akan mengawal anggota badan manusia. Hati juga amat sensitif dengan dosa-dosa yang sering kita lakukan. Sabda baginda lagi,' Sesiapa yang melakukan satu dosa, maka akan tumbuh pada hatinya setitik hitam, sekiranya dia bertaubat akan terkikislah titik hitam itu daripada hatinya. Jika dia tidak bertaubat maka titik hitam itu akan terus merebak hingga seluruh hatinya menjadi hitam'. (Hadis riwayat Ibn Majah)
Hati yang kotor dan hitam akan menjadi keras. Apabila hati keras, kemanisan dan kelazatan beribadat tidak dapat dirasakan. Ia akan menjadi penghalang kepada masuknya nur iman dan ilmu. Belajar sebanyak mana pun ilmu yang bermanfaat atau ilmu yang boleh memandu kita, namun ilmu itu tidak masuk ke dalam hati, kalau pun kita faham, tidak ada daya dan kekuatan untuk mengamalkannya.

Apabila berbicara soal hati, ramai yang akan menyangka ianya berkait rapat dengan hati dan perasaan. Namun, pada hakikatnya bukan itu sahaja. Perkara yang paling penting yang berkait rapat dengan hati adalah NIAT. Niat adalah tunggak bagi segala perbuatan. Sabda baginda lagi, ' sesungguhnya setiap perbuatan itu berserta niat'.
Kadang-kadang, apabila kita melakukan amal kebaikan, kita merasakan apa yang sedang dilakukan adalah betul. Walhal, tanpa kita sedari niat kita sedikit demi sedikit telah terpesong. Tanpa kita sedari. Saya sungguh gerun apabila memikirkan kita sering menyangka bahawa kita bercucuk tanam di dunia ini kerana Allah,agar kita mendapat hasil di 'sana' nanti. Namun, kerana niat kita yang tersasar, amalan tersebut di'reject' olehNya.*Nauzubillah*. 'Bukankah syaitan itu musuh yang nyata tetapi halus percaturannya terhadap manusia?'
Maka, berhati-hatilah dengan hati. [Kata-kata ini LEBIH saya tujukan pada diri sendiri, ta'kid,kepada diri sendiri]. 
Berbicara soal hati,pasti akan mengambil masa yang lama dan panjang kerana, bagi saya hati adalah bahagian yang paling Complex dalam diri manusia.

Tanda-tanda hati mati:
Menurut Syeikh Ibrahim Adham, antara sebab atau tanda hati manusia itu mati ialah:
  • Mengaku kenal Allah SWT, tetapi tidak menunaikan hak-hak-Nya. 
  • Mengaku cinta kepada Rasulullah s.a.w., tetapi mengabaikan sunnah baginda. 
  • Membaca al-Quran, tetapi tidak beramal dengan hukum-hukum di dalamnya.
  • Memakan nikmat-nikmat Allah SWT, tetapi tidak mensyukuri atas pemberian-Nya. 
  • Mengaku syaitan itu musuh, tetapi tidak berjuang menentangnya. 
  • Mengaku adanya nikmat syurga, tetapi tidak beramal untuk mendapatkannya. 
  • Mengaku adanya seksa neraka, tetapi tidak berusaha untuk menjauhinya. 
  • Mengaku kematian pasti tiba bagi setiap jiwa, tetapi masih tidak bersedia untuknya.
  • Menyibukkan diri membuka keaiban orang lain, tetapi lupa akan keaiban diri sendiri.
  • Menghantar dan menguburkan jenazah saudara seislam tetapi tidak mengambil pengajaran daripadanya.
Menurut Syeikh Ibnu Athoillah, tanda hati mati ialah, tidak bersedih kerana tertinggal sesuatu amal kebaikan dan tidak menyesal atas maksiat yang dilakukan.*nauzubillah*
Maka,berhati-hati dengan hati!
Mari sama-sama ambil iktibar. 
Setakat ini sahajalah yang mampu saya coretkan. Walaupun pada hakikatnya,terlalu banyak ynag ingin saya perkatakan. 

P:s/ megapakah saya menulis tentang hati? Kerana saya sendiri menghadapi penyakit hati. Semangat..niat..semuanya berkait rapat dengan hati..Wallahua'lam..


1 comment:

tok pulai chondong said...

kerana hidayah itu datang dari hati...

mungkin ssatu fakta yg boleh diperbetulkan tentang assyahidah sumayyah..

dia syahid bukan disula, tapi direbus..dipaksa terjun didalam kawah yg panas....